PKPB: Amaran keras buat peniaga ‘sorok’ barang

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

PAYA RUMPUT 8 Nov. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Melaka memberi amaran keras peniaga yang didapati menyorok bekalan makanan asas di premis masing-masing.

Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar berkata, setakat Januari hingga 7 November 2020, terdapat 23 pemborong dan peruncit di negeri ini telah dikenakan kompaun dalam operasi yang telah dijalankan pihaknya.

Jelasnya, antara jenis bekalan makanan asas yang kerap disorok pihak tidak bertanggungjawab termasuklah beras, tepung, gula, telur dan minyak masak dengan rampasan bernilai lebih RM34,000 dan nilai kompaun berjumlah RM15,500.

Beliau menegaskan pihak KPDNHEP Melaka sama sekali tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku lagi kes-kes sedemikian, terutamanya sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan perayaan Deepavali bulan ini.

“Kita ingatkan semua agar jangan ambil kesempatan dengan menyorok barangan makanan asas. Kita akan sentiasa memantau mengenai perkara ini.

“Jika kita jumpa mana-mana pemborong atau peruncit melakukan perbuatan seperti ini kita akan kenakan kompaun dan penalti maksimum. Kita sangat memandang serius mengenai perkara ini dan janganlah menyalahkan kerajaan jika dikenakan tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan sesi ‘walkabout’ pemantauan harga barangan sempena PKPB dan perayaan Deepavali di sebuah pasar raya di Cheng, di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP, jika berlakunya sebarang salah laku berkaitan perdagangan dan isu kepenggunaan.

“Jila ingin salurkan aduan, boleh menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Melaka di talian 06-2345869 yang beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 6 petang,” katanya.

Views:

1237
Kongsi :
Previous post Helikopter terhempas: BSKU mulakan siasatan
Next post Kes COVID-19 seluruh dunia sudah melepasi 50 juta
Ubah saiz-+=