Sorting by

×

PKP penuh: Peniaga kecil bersyukur dibenar beroperasi

Masa Membaca:2 Minit, 41 Saat

AYER KEROH 31 Mei – Rata-rata peniaga kecil meluahkan rasa lega dan syukur apabila dibenar berniaga semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh berkuat kuasa mulai esok hingga 14 Jun ini.

Bagaimanapun, di sebalik kelegaan itu ada juga peniaga ragu-ragu untuk berniaga kerana bimbang sambutan pelanggan yang mungkin berkurang disebabkan kebenaran pergerakan yang terhad.

Seorang peniaga nasi kukus, Nabilah Mohd Nasir, 22, berkata, dia amat bersyukur sebaik mendengar pengumuman kerajaan semalam membenarkan sektor perniagaan makanan terus beroperasi supaya rakyat dapat mencari rezeki dan meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh itu.

NABILAH.

Ujarnya yang berniaga berhampiran masjid di MITC, biarpun dibenarkan berniaga dia berhati-hati dalam menyediakan stok jualan agar mampu dijual dan tidak mendatangkan kerugian.

“Kita tak tahu lagi sambutan pelanggan bagaimana dalam keadaan ‘total lockdown’ ini. Jadi kami ambil langkah berhati-hati terutama dalam menyediakan stok jualan.

“Kami cuba dulu berniaga dengan 10 ekor ayam dahulu esok, kerana lokasi ini dahulu (sebelum PKP) memang ramai disebabkan berdekatan masjid.

“Apa pun kita tetap bersyukur dan gembira dengan pengumuman ini, saya cuba dahulu dan lihat sambutannya kerana kebiasannya pada hari biasa kita boleh menjual 70 hingga 80 ekor dijual sehari dan sekitar 30 ekor ayam pada hujung minggu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

JAMIZAN.

Seorang lagi peniaga, Jamizan Jaafar, 43, turut bersyukur dengan keputusan kerajaan dan bertekad untuk meneruskan perniagaan bersama isterinya.

Katannya, biarpun menjangkakan sambutan pelanggan berkurang dengan langkah kawalan pergerakan penuh, dia tetap mahu mencuba demi menyara keluarga.

“Alhamdulillah, sebab awalnya kita jangkakan kerajaan akan laksanakan kawalan ketat seperti PKP 1.0, sebaliknya operasi peniagaan termasuk penjaja seperti saya dibenarkan terus berniaga.

“Bila ‘total lockdown’ ini saya jangka pelanggan pasti berkurang disebabkan lokasi ini juga didatangi oleh kebanyakan pekerja pejabat berdekatan yang kini diarahkan bekerja dari rumah(BDR).

“Jadi kami sudah merancang untuk mengehadkan jualan bagi mengelak kerugian. Apa yang perlu kita harus bersabar menghadapi ujian ini,” katanya yang ditamatkan kontrak sebagai pemandu bas kilang sejak tahun lalu.

SYUKUR… kakitangan Hotel Seri Malaysia mengambil inisiatif bagi menjana pendapatan selepas kerajaan mengumumkan kebenaran operasi bagi sektor perlu dalam tempoh PKP Penuh berkuat kuasa 14 hari mulai esok.

Bagi Eksekutif Makanan dan Minuman Hotel Seri Malaysia Melaka, Mohd Hanis Hamidi kebenaran itu disambut baik pihaknya yang menjalankan perkhidmatan penghantaran makanan sejak PKP 2.0 dan kini membuka gerai makanan bagi menambah pendapatan sampingan.

“Disebabkan kerajaan menetapkan tidak boleh makan di dalam kedai makan dan restoran, ia memang memberi kesan kepada pengusaha hotel seperti kami.

“Namun, dengan kebenaran berniaga walaupun hanya untuk bungkus atau dibawa balik ia tetap melegakan kerana yang penting perniagaan dapat diteruskan.

“Kami ambil peluang ini untuk membuka gerai jualan bagi bagi menjana pendapatan sampingan untuk hotel,” katanya.

MOHD Hanis.

Semalam, kerajaan mengumumkan operasi bagi peniaga kecil sektor makanan dan minuman dibenarkan kerana diklasifikasikan sebagai sektor perlu sepanjang PKP penuh berkuat kuasa.

Kebenaran beroperasi turut diberikan kepada kedai runcit, kedai serbaneka, farmasi dan kedai penjagaan diri termasuk pasar raya, namun terhad kepada seksyen makanan, minuman dan barangan keperluan asas sahaja.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

634
Kongsi :
Previous post Dua PKRC pekerja asing pertama bakal beroperasi
Next post Cedera rakan guna besi, pengurus pasar raya didenda RM4,000
Ubah saiz-+=