Sorting by

×

PKP: Peniaga makanan bersyukur pelanggan masih boleh tapau

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 11 Jan – Peniaga makanan di negeri ini bersyukur selepas masih dibenarkan beroperasi susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan semula di enam negeri termasuk Melaka akibat peningkatan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini.

Peniaga kedai makanan, Zaros Mohammad berkata tiada apa yang mampu diungkapkan selain terpaksa mengikut arahan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini demi memastikan kes pandemik itu berkurangan.

“Berbanding PKP yang pertama (Mac tahun lalu), semua kedai makanan tidak boleh buka langsung tapi PKP kali ini saya bersyukur kerajaan beri kelonggaran untuk pelanggan tapau hidangan.

“Kita tetap akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan pelanggan tidak dibenarkan makan di kedai seperti hari ini.

“Pada awalnya berdebar juga tunggu pengumuman PM kalau-kalau peniaga diarahkan menutup operasi, namun bersyukur apabila kerajaan amat prihatian dengan keluhan rakyat,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di sini.

Menurutnya, meskipun sumber pendapatannya bakal terjejas, dia juga menyokong tindakan kerajaan itu susulan peningkatan kes semakin mendadak.

“Demi keselamatan dan kesihatan rakyat, elok dilaksanakan PKP, sekurang-kurangnya turun sedikit kes COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Dahlan Hussin berkata dia belum mempunyai perancangan sama ada untuk membuka operasi kedai seperti biasa atau sebaliknya.

“Kalau tutup, pekerja juga tidak mendapat gaji jadi saya harus tengok semua keperluan itu nanti,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen tempatan hari ini mengumumkan kedai makan dan gerai penjaja hanya dibenarkan beroperasi untuk perkhidmatan ‘take away’ atau pandu lalu sahaja di sepanjang pelaksanaan PKP.

Terdahulu beliau memutuskan untuk melaksanakan PKP di enam negeri iaitu Melaka, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Johor dan Sabah selama 14 hari bermula Rabu ini sehingga 26 Januari depan.

Views:

775
Kongsi :
Previous post SOP lebih terperinci PKP diumumkan esok: Ismail Sabri
Next post Sesi persekolahan majoriti murid di negeri PKP ditangguh
Ubah saiz-+=