PKP: Lima sektor ekonomi dibenarkan beroperasi

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KUALA LUMPUR 11 Jan – Kerajaan membenarkan lima sektor ekonomi perlu beroperasi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan dilaksanakan untuk tempoh selama 14 hari mulai Rabu ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata sektor tersebut adalah pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran serta perladangan dan komoditi.

“Sektor ini dibenarkan beroperasi kerana peranannya menyokong kerja-kerja membekal keperluan asas seperti makanan, minuman, dan barangan keperluan rumah serta penjagaan diri, kelengkapan Peralatan Pelindung Peribadi (PPE), peranti perubatan dan ubatan kepada petugas kesihatan, aktiviti perdagangan antarabangsa, memastikan rantaian bekalan tidak terputus dan menyokong infrastuktur kritikal dan kerja-kerja kecemasan,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian sewaktu menyampaikan perutusan khas pelaksanaan PKP yang disiarkan secara langsung hari ini.

Menurutnya, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan yang dibenarkan berada di pejabat manakala keperluan kumpulan sokongan akan ditentukan majikan.

Jumlah pekerja yang ditentukan perlu mengambil kira pematuhan ketat prosedur operasi standard (SO) yang ditetapkan.

“Mana-mana majikan yang melanggar SOP dan menyebabkan berlakunya penularan jangkitan COVID-19 ditempat kerja, tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang termasuk menutup premis berkenaan,” tegasnya.

Perdana Menteri berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperincikan jenis-jenis perkhidmatan yang disenaraikan sebagai sektor ekonomi perlu.

Bagi sektor atau perkhidmatan yang tidak disenaraikan sebagai sektor ekonomi perlu, arahan bekerja dari rumah akan berkuat kuasa.

Semua majikan mesti mematuhi arahan untuk mengurangkan pergerakan dalam komuniti, terutamanya di kawasan yang berkepadatan tinggi, tambahnya.- BERNAMA

Views:

331
Kongsi :
Previous post Lelaki dicari bantu siasatan kes sindiket samun dan pecah rumah
Next post Aktiviti sosial sewaktu PKP tidak dibenarkan – PM
Ubah saiz-+=