PKP: Kawalan ketat di sempadan Melaka bermula
AYER KEROH 13 Jan. – Tepat jam 12.01 tengah malam ini, polis Melaka dan tentera mula melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) memeriksa kenderaan yang keluar masuk ke negeri ini.
Ia susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari di enam negeri termasuk Melaka bermula tengah malam ini sehingga 26 Januari ini.
Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di Jalan Tun Razak Ayer Keroh mendapati, pihak polis mula melakukan SJR di kedua-dua arah sebelum Plaza Tol Ayer Keroh bagi memeriksa kenderaan yang keluar masuk ke Melaka.
Isnin lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri membabitkan Melaka, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Johor dan Sabah bermula 13 hingga 26 Januari ini.
Untuk tempoh sama, enam lagi negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan pula dilaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) manakala PKP Pemulihan (PKPP) bagi Perlis serta Sarawak.
Negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum.
KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat.
Untuk rekod, PKP pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri pada 16 Mac tahun lepas di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.
Pelaksanaan PKP bermula 18 Mac hingga 4 Mei sebelum kerajaan membuat keputusan melonggarkan PKP dan menggantikannya dengan PKP Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei 2020 dan seterusnya PKP Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun 2020.
Bagaimanapun, susulan penularan mendadak kes COVID-19 dalam komuniti tempatan yang didakwa sesetengah pihak berpunca daripada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri Sabah pada September lepas.
PKP kemudian dilihat kembali menjadi pertimbangan utama Kerajaan Persekutuan sehingga pelaksanaannya semula terpaksa diumumkan Perdana Menteri Isnin lalu.