PKP bukan alasan tidak jana pendapatan
AYER KEROH 18 Sept. – ” Sebelum ini saya niaga dengan mak, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya ambil keputusan untuk niaga secara atas talian ‘,” kata peniaga Nur Farhanim Kamarulzaman, 29.
Menurutnya, walaupun PKP namun usaha untuk teruskan berniaga tidak pernah putus, malah tetap meneruskan perniagaan secara atas talian.
“Dari umur 23 hingga sekarang memang saya dah terlibat dalam bidang perniagaan ni, masa PKP saya berniaga ‘online’ kambing perap dan roti canai frozen (sejuk beku).
“Alhamdulillah masa PKP sambutan sangat memberangsangkan, paling tidak dapat bantu bayar gaji pekerja-pekerja saya sedia ada,” katanya ketika ditemui MHI.
Nur Farhanim bukan saja sudah lama menceburi bidang perniagaan, malah berbakat dalam menebar roti canai sejak usia 15 tahun.
“Saya boleh buat roti canai dari tingkatan tiga lagi, masa tu kesian dekat mak jadi saya ambil peluang untuk bantu pada hari Sabtu dan Ahad.
“Pernah juga buka spa masa umur 20 sehingga 22 tahun, lepas tu saya tak teruskan lagi sebab berkahwin dan banyak komitmen,” katanya sekarang meneruskan perniagaan sendiri bersama suami.
Katanya, turut menerima bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) RM3,000 bagi menampung perbelanjaan peralatan kedai selepas diberi kebenaran untuk berniaga dalam Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Alhamdulillah, saya dapat juga bantuan GKP, dengan bantuan ini dapatlah saya cover semula untuk membeli barang-barang niaga.
“Kedai sekarang ini saya dapat masa dalam PKP jadi tak dapat teruskan niaga selain atas talian sahaja,” katanya lagi.