PKP 3.0 tidak jejas persiapan MUFC

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) yang diperketatkan bermula 25 Mei menyaksikan Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) terpaksa mengubah pendekatan membabitkan sesi latihan pasukan.

Pengurus Pasukan Muhammad Akram Abdullah berkata, memandangkan sesi latihan secara terbuka tidak dibenarkan buat masa ini, barisan pemain skuad Hang Tuah hanya menjalani latihan sendiri yang memfokuskan kepada aspek kecergasan.

Beliau berkata, pihaknya bersama staf kejurulatihan bagaimanapun sedang merangka program latihan berpusat secara kuarantin menggunakan model gelembung sukan (camp based training) bagi mempersiapkan pasukan menghadapi pusingan kedua Liga Super yang dijadualkan disambung pada awal Julai depan.

MUFC akan mempraktikkan kaedah latihan berbeza sepanjang PKP 3.0. (Foto: Ihsan MUFC)

“Buat masa ini pemain hanya menjalani rutin latihan di rumah dengan mengikuti program latihan yang ditetapkan oleh barisan kejurulatihan yang lebih tertumpu kepada aspek kecergasan.

“Selain itu, kita juga sedang merancang untuk mengadakan latihan secara ‘Camp Based Training’ dengan SOP yang ketat sedikit masa lagi.

“Ini penting bagi memastikan persiapan pasukan menjelang sambungan saingan liga tidak terjejas dan memastikan pasukan benar-benar bersedia untuk kembali memberikan saingan dalam Liga Super musim ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, mengulas kehadiran dua pemain import baharu MUFC, Giovane Gomes da Silva dan Adriano Aparecido Narcizo yang diumumkan pada Rabu, Muhammad Akram menzahirkan kepercayaan kedua-dua mereka dapat membantu pasukan dalam menghadapi baki 11 perlawanan liga musim ini.

Kedua-dua tonggak dari Brazil itu, ujarnya, akan akan bermain di posisi serangan dan menggantikan tempat Alex dos Santos Goncalvez serta Stefan Nikolic yang digugurkan.

“Mereka akan segera menjalani sesi latihan bersama pasukan sejurus mendapat lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL),” katanya lagi.

Selain dua pemain itu, difahamkan, bekas pemain tengah skuad Harimau Muda, Gary Steven Robbat juga disebut-sebut bakal dipinjamkan oleh Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi memperkuatkan MUFC yang kini berada di kedudukan ke-11 Liga Super daripada 12 pasukan yang bertanding.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

427
Kongsi :
Previous post MOT kaji, teliti punca kemalangan dua tren LRT
Next post Polis nafi video tular satu keluarga mati di rumah akibat COVID-19
Ubah saiz-+=