Sorting by

×

PKP 3.0: Kompaun hingga RM10,000 jika berada lebih 2 jam di premis perniagaan

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 27 Mei – Kompaun RM2,000 hingga RM10,000 akan dikenakan kepada individu yang berada melebihi dua jam di mana-mana premis perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Wira Ar. Ismail Othman berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka telah menjalankan penguatkuasaan Op Had 2J berkuat kuasa semalam dengan tumpuan fokus kepada premis perniagaan termasuk di kompleks beli belah, pasar raya, pasar malam, pasar tani serta pelbagai lokasi utama perniagaan di negeri ini.

Jelasnya, operasi penguatkuasaan secara menyeluruh di negeri ini dijalankan sebagai mengawal selia sektor perdagangan, pengedaran, peruncitan dan pemborongan yang ditambah baik dalam prosedur operasi standard (SOP) Perdagangan Pengedaran PKP 3.0 oleh KPDNHEP.

“Sepanjang operasi ini waktu kemasukan pelanggan ke premis perniagaan akan direkodkan dan dipantau melalui waktu imbasan di MySejahtera atau buku kehadiran pelanggan.

“Tindakan kompaun akan dikenakan kepada pelanggan yang berada melebihi dua jam dengan penguatkuasaan yang dibantu oleh pihak polis, Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Malah, tindakan ini juga akan dikenakan kepada peniaga sekiranya leka dan memberi peluang kepada pelanggan berada di premis perniagaan melebihi dua jam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Op Had 2J di Mydin Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, di sini hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Datuk Shadan Othman dan Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Melaka, Muhammad Aizudin Mohd Said.

Dalam pada itu, ujarnya, sepanjang PKP 3.0, beberapa SOP ketika berada di premis perniagaan telah diperkasakan pihaknya dengan menyarankan setiap premis perlu memaparkan jumlah had kemasukan pelanggan pada sesuatu masa.

Menurutnya, penggunaan sistem nombor giliran adalah digalakkan bagi mengawal kemasukan pelanggan dalam sesuatu premis.

“Premis perniagaan digalakkan memaparkan had maksimum dua jam bagi tempoh masa pelanggan berada di premis dan perlu memastikan kawalan pelanggan keluar masuk dengan penjarakan satu meter.

“Malah, premis perniagaan juga perlu memastikan sekurang-kurangnya seorang pekerja ditugaskan mengawal laluan keluar masuk pelanggan dengan memastikan MySejahtera dan buku pendaftaran disediakan di laluan masuk premis,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

571
Kongsi :
Previous post KKM seru sukarelawan kesihatan bantu tangani COVID-19
Next post Pesakit COVID-19 di PKRC MITC dijangka meningkat
Ubah saiz-+=