PKP 2.0 tidak gagal – KP Kesihatan
PUTRAJAYA 11 Mei. – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) yang dilaksanakan awal tahun ini tidak gagal, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, melalui pelaksanaan itu kerajaan berjaya mencegah kes jangkitan daripada melonjak sehingga 20,000 kes sehari pada minggu pertama Mac seperti kajian yang dijalankan.
“Pelaksanaan PKP 2.0 adalah untuk pencegahan. Jika kita tidak laksanakan PKP 2.0, kes dijangka akan meningkat 5,000 atau 10,000 sehari dan ia dikhuatiri melonjak sehingga 20,000 kes pada minggu pertama Mac.
“Jadi, kita percaya melalui PKP 2.0 kita berjaya mencegah kes agar tidak melonjak sehingga 20,000 kes sehari, namun kita gagal menurunkan kes kepada dua atau tiga angka,” katanya dalam sidang media khas yang diadakan bersama Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.
Katanya, pelbagai faktor menjadi penyebab kes gagal turun dua ke tiga angka sehari pada Mac lalu antaranya apabila pelbagai sektor seperti ekonomi dan sosial dibuka.
Rentetan itu, ujarnya, berlaku kelesuan pandemik dan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) hingga menyebabkan kes kembali melonjak pada April dan Mei, ditambah lagi dengan kehadiran varian-varian baharu yang menular dengan cepat.
“Varian ini juga banyak menjangkiti mereka di usia muda dengan gejala yang lebih teruk. Malah, penggunaan ubat seperti steroid juga tidak berkesan.
“Kini, varian-varian baharu seperti varian Afrika Selatan telah menular di beberapa negeri seperti Kelantan, Perak, Selangor, Kedah dan Negeri Sembilan dan kita tidak pasti jika ia juga menular ke negeri-negeri lain,” katanya.
Beliau berkata, justeru PKP 3.0 yang akan dilaksanakan bermula esok amat penting untuk mengekang varian-varian ini daripada terus merebak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.