Sorting by

×

PKP 2.0: Jangan panik, belajar dari PKP lalu

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KUALA LINGGI 11 Jan. – Orang ramai, khususnya rakyat di negeri ini dinasihat agar tidak melakukan pembelian panik susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ke atas enam negeri termasuk Melaka seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Ar Ismail Othman berkata, rakyat sepatutnya sudah lali dengan situasi tersebut memandangkan negara pernah melalui PKP pada Mac tahun lalu.

Pengalaman lalu, ujarnya, seharusnya sudah mengajar masyarakat untuk tidak panik dengan menyerbu pasar raya bagi membeli keperluan bekalan asas memandangkan sektor peruncitan dan makanan dibuka seperti biasa.

“Saya ingin seru orang ramai untuk tidak membuat pembelian panik. Kita sudah melalui pengalaman sama (PKP) sebelum ini.

“Eloklah sekiranya pengalaman itu mengajar kita untuk mengawal diri dan mengelakkan risiko dijangkiti COVID-19 jika berada di tempat-tempat sesak,” ujarnya.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan PKP untuk tempoh 14 hari bermula jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021.

Perintah tersebut dikuatkuasakan kepada enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Manakala enam lagi negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sementara Perlis dan Sarawak pula kekal dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurutnya, negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan peningkatan mendadak kes harian COVID-19 sehingga menyebabkan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatan kini hampir mencapai kapasiti maksimum.

Katanya, KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat.

 

Views:

539
Kongsi :
Previous post 3,000 sukarelawan dijangka terbabit kajian klinikal Fasa 3 vaksin Covid-19
Next post SOP lebih terperinci PKP diumumkan esok: Ismail Sabri
Ubah saiz-+=