PKMAR dedah pengurusan dana, elak penyelewengan

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

TELOK MAS 3 Jul: Kira-kira 500 ahli jawatankuasa dan kariah masjid serta surau di negeri ini hadir ke Program Komuniti Masjid Memerangi Rasuah (PKMAR) di Surau Al-Mughni, Kampung Tersusun, Bukit Larang, hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat berkata, program anjuran bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), JAIM dan Surau Al-Mughni adalah program pertama diadakan di negeri ini.

Beliau berkata, menerusi program ini jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini diberikan pendedahan dalam pengurusan dana sekaligus dapat menghindari dari berlakunya unsur penyelewengan mahupun rasuah.

“Setakat ini tiada lagi kes penyelewengan dana kerana kita pantau dan sebenarnya program hari ini untuk mempertingkat dan memperkemaskan lagi sistem (pengurusan dana) yang ada.

“Walaupun tiada penyelewengan tetapi kita khuatir tomahan-tomahan sebegini. Kita minta program ini diteruskan lagi pada masa akan datang tetapi lokasinya di kawasan luar bandar pula,” katanya.

Che Sukri ditemui selepas Program PKMAR yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan Masyarakat SPRM Datuk Razim Mohd Noor dan Pengarah SPRM negeri Mohd Shahril Che Mat.

Menurutnya, jawatankuasa masjid serta surau juga diminta supaya tidak menyimpan dana diperoleh sebaliknya membelanjakan wang berkenaan bagi tujuan pembangunan dan pengimarahan.

“Kita kesan ada beberapa masjid yang tidak menggunakan tabung tetapi kita sudah memberitahu mereka untuk belanjakan dana yang ada itu.

“Gunakanlah dana itu untuk tambah baik masjid atau surau contoh baiki kebocoran, tandas serta buat keindahan. Contohnya minggu ini kutipan dapat RM10,000 gunakan RM2,000 atau RM3,000 untuk pembangunan atau imarah masjid,” katanya.

Sementara itu, Che Sukri berkata, pihak atau individu yang tidak berpuas hati atau ada mengesyaki terdapat unsur rasuah dalam pengurusan dana mahupun masjid dan surau boleh menghantar terus surat layang kepada JAIM untuk tindakan lanjut.

“Sebelum ini surat layang terus dihantar ke SPRM, kita cadangkan selepas ini sebarang kesulitan atau pertanyaan boleh terus ke JAIM.

“Ini kerana kita bertindak sama, serta merta tindakan akan diambil sekiranya mendapati bersifat lebih kepada atau terdapat unsur penyelewengan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1303
Kongsi :
Previous post ‘Single origin’ di Panchor sumbang produktiviti koko negara
Next post Dua beranak Orang Asli maut dalam kemalangan
Ubah saiz-+=