PJ City mahu kekalkan 100 peratus pemain tempatan
MELAKA 10 Mei. – Petaling Jaya City FC (PJ City) kekal dengan perancangannya untuk tidak menggunakan khidmat pemain import apabila jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) musim ini dibuka.
Ketua Jurulatihnya P Maniam berkata, beliau tetap berkeyakinan dengan kemampuan skuadnya yang dibarisi 100 peratus pemain tempatan dan menunjukkan prestasi terbaik pada pusingan pertama kempen Liga Super ketika ini.
Ini termasuk kejayaan pasukan Phoenix itu mengikat Melaka United FC 0-0 ketika bertandang ke Stadium Hang Jebat, Krubong pada perlawanan malam tadi di sini.
“Kita sangat gembira dengan kesemua pemain yang ada telah menunjukkan persembahan dan prestasi sangat baik, malah akan kekalkan dengan skuad yang ada untuk terus beri peluang kepada mereka meningkatkan keyakinan.
“Kita sedang mengenal pasti seorang atau dua lagi pemain untuk dibawa masuk iaitu pemain nombor sembilan (penyerang utama) kerana tidak tahu bila Darren Lok akan kembali, namun jika tiada, kita akan gunakan Mahali Jasuli dan Kyril Muhymeen Zamberi,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Pada perlawanan itu, pasukan pelawat berjaya mengekang Melaka United FC untuk keputusan seri walaupun pasukan tuan rumah menguasai hampir keseluruhan perlawanan.
Maniam berkata pemainnya bangkit pada separuh masa kedua namun gagal memanfaatkan beberapa peluang.
Sementara itu, pengendali Melaka United FC Zainal Abidin Hassan meluahkan rasa kecewa dengan keputusan tersebut kerana pasukannya gagal memanfaatkan peluang terhidang biarpun telah membaiki corak permainan dan mempamerkan displin yang tinggi.
“Malam ini mereka sangat tumpul di bahagian depan dan gagal menyudahkan gerakan,” katanya.
Keputusan itu menyaksikan PJ City FC kekal di tangga kelapan Liga Super dengan 15 mata manakala Melaka United FC yang bergelut dengan prestasi, terhumban ke kedudukan kedua tercorot dengan 11 mata.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.