Piuh penggemar mi kari
TANJUNG BIDARA 22 Julai – Jika beruk atau monyet dikenali sebagai haiwan yang gemar memakan buah, terutama pisang, Piuh tidak sedemikian kerana lebih gemar memakan mi kari pedas.
Pemilik Piuh, Daud Bakar, 63, berkata, beruk jantan yang sudah ‘pencen’ dipeliharanya sejak 10 tahun lalu untuk memetik kelapa di sekitar Kampung Londang namun khidmat haiwan itu terpaksa dihentikan selepas mencapai usia 29 tahun.
Katanya, setiap pagi dia menyediakan mi kari untuk Piuh yang gemar memakan mi, ayam dan kuah kari yang tiada bezanya dengan mi kari yang dihidangkan kepada pelanggan.
“Lazimnya Piuh makan mi dahulu sebelum ayam dan menghirup kuah tetapi sebelum itu, dia akan mengutip sayur dan membuangnya kerana tidak gemar makan sayur,” katanya di warungnya hari ini.
Dia berkata, Piuh mula menggemari mi kari selepas dia secara tidak sengaja terbuang sisa mi kari yang dimakan pelanggan ke tempat Piuh ditambat pada pondok kecil di belakang warung dua bulan lalu.
Katanya, dia terkejut melihat Piuh mengutip sisa mi kari sebelum menjilat kuah kari yang melekat pada rumput.
Sejak itu, selain memberi makan nasi dan telur ayam, Daud menghulur mi kari untuk dijamah haiwan berkenaan.
“Pada sebelah tengah hari dan petang, saya beri Piuh makan nasi dan jika ada pisang, saya berikan sebiji atau dua biji,” katanya.
Daud berkata, sejak memelihara Piuh , beruk jantan itu tidak banyak karenah dan memakan kebanyakan jenis makanan yang diberikan.
“Saya tidak akan melepaskan Piuh ke hutan kerana dia tidak tahu mencari makan sendiri dan jika dilepaskan, sudah tentu dia akan dibunuh beruk lain yang sudah biasa dengan kehidupan dalam hutan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.