![Whatsapp Image 2025 02 14 At 5.42.05 Pm](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-14-at-5.42.05-PM.jpeg?v=1739527093)
‘PINTAS’ BANTU TRANSFORMASI ASNAF MELAKA
AYER KEROH 15 Februari – Sejumlah RM13.45 juta diperuntukkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi menjayakan pembangunan Pelan Induk Transformasi Asnaf atau PINTAS.
Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, PINTAS adalah perancangan strategik MAIM menerusi Bahagian Pembangunan Insan dengan pelaksanaannya berlangsung selama tempoh tiga tahun bermula 2025 sehingga 2027.
“PINTAS meletakkan empat sasaran yang mencakupi pembangunan ekonomi dan kerjaya asnaf termasuklah pendidikan bagi generasi kedua asnaf.
“Secara keseluruhan PINTAS ini akan memanfaatkan kira-kira 36,741 orang penerima termasuk agensi dengan anggaran perbelanjaan sekitar RM13,454,500.00 sepanjang tiga tahun pelaksanaan pelan ini berjalan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Shaifulfazlee, bagi mencapai pelaksanaan sasaran yang diletakkan oleh MAIM, PINTAS menggariskan enam strategi serta tiga inisiatif yang akan memberi impak kepada penerima.
“Selain enam strategi itu, sebanyak tiga inisiatif juga digariskan di bawah PINTAS yang mana ia akan diterjemahkan melalui 38 pelaksanaan program.
“Program-program ini akan akan dilaksanakan dengan kerjasama agensi kerajaan dan korporat setiap tahun sepanjang tempoh pelaksanaan PINTAS,” katanya.
Terdahulu, pelancaran PINTAS disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada a Majlis Perhimpunan Agensi Agama Islam Negeri Melaka Bilangan 1, Tahun 2025, di Auditorium Masjid Al-Azim, 10 Februari lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.