Sorting by

×

‘Pindaan bukan untuk selamatkan Zahid Hamidi’

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

KUALA LUMPUR 15 Mei – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pindaan Perlembagaan UMNO yang bakal dilaksanakan pada Perhimpunan Agung Khas di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bukanlah untuk menyelamatkan dirinya.

Katanya, dakwaan sumbang sedemikian adalah tidak berasas memandangkan pindaan berkenaan merupakan manifestasi akar umbi UMNO itu sendiri yang telah diangkat ke Perhimpunan Agung UMNO dua bulan lalu dan dipersetujui.

“Dangkallah jika ada di kalangan kita, termasuk saf kepimpinan tertinggi parti, berpandangan dan berfikiran sempit sedemikian. Jangan kita buat-buat lupa, gesaan agar pemilihan parti diadakan selepas pilihan raya umum adalah usul daripada majoriti Bahagian-Bahagian yang telah mengadakan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian masing-masing.

“Keputusan di peringkat akar umbi, dan seterusnya diangkat ke Perhimpunan Agung dua bulan lalu telah pun dipersetujui dan diluluskan. Pindaan ini adalah manifestasi suara akar umbi. Saya yakin saudara saudari sekalian hendak melihat parti kita kukuh dan berpadu.

“Adat memimpin, apa pun yang datang, bahtera perlu diselamatkan. Walau diri terkorban, namun bahtera jangan dibiarkan karam,” katanya ketika berucap Perhimpunan Agung Khas UMNO, hari ini.

Ahmad Zahid turut menegaskan pindaan Perlembagaan kali ini akan memberi ruang kepada pasukan kepimpinan Pusat, Bahagian dan Cawangan, bagi setiap penggal pemilihan, untuk memfokuskan gerak kerja menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Dengan mengabsahkan pindaan hari ini, saudara-saudari sekalian adalah pasukan yang akan membawa parti menghadapi PRU ke-15. Inilah pasukan yang setelah jatuh bangkit dengan keazaman.

“Inilah pasukan yang meskipun tewas PRU ke-14 tetapi kekal berpaksikan kesetiaan; Inilah pasukan yang menggalas tanggungjawab parti dan mengharungi setiap cabaran;
Inilah pasukan yang tidak lari ketika bertempur di medan.

“Inilah pasukan yang tidak tunduk kepada ugutan; Inilah pasukan yang telah disiapsiagakan untuk menghadapi peperangan; Inilah pasukan yang kekal istiqamah dalam perjuangan dan inilah pasukan dalam siri pilihanraya kecil dan pilihanraya negeri yang telah menjana kemenangan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1021
Kongsi :
Previous post Pindaan Perlembagaan UMNO bawa erti cukup besar, elak perpecahan – Ahmad Zahid
Next post UMNO akan terus perkasa agenda Melayu, Bumiputera – Ahmad Zahid
Ubah saiz-+=