Pindaan Akta Pengangkutan Jalan untuk hukuman lebih berat kepada mat rempit

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

GEORGE TOWN, 9 Ogos – Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dipinda bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada mat rempit yang menunggang motosikal secara melulu atau berlumba haram dalam usaha membanteras kegiatan yang berbahaya itu kepada penunggang motosikal dan pengguna jalan raya yang lain.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak berkata pindaan itu melibatkan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membabitkan kadar denda yang lebih tinggi, hukuman penjara dan sitaan bengkel yang mengubah suai motosikal mat rempit untuk berlumba haram.

“Kementerian Pengangkutan telah mengadakan perbincangan bersama beberapa agensi kerajaan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi menangani masalah mat rempit yang semakin berleluasa sekarang ini.

Bagi langkah jangka pendek, pihak JPJ bersama PDRM akan meneruskan operasi di lokasi mat rempit berlumba haram dengan menggunakan beberapa strategi baharu,” katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim dan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Isham berkata bagi langkah jangka panjang, pihaknya akan meminda pindaan Akta Pengangkutan Jalan yang dijangka dibentangkan pada sesi pertama sidang Dewan Rakyat pada tahun depan bagi memberi kuasa kepada PDRM dan JPJ untuk menguatkuasakan akta itu dengan lebih menyeluruh.

Katanya menerusi pindaan akta itu, sebelum ini mereka yang didapati berlumba haram dikenakan saman sebanyak RM300 namun mungkin kadar saman akan dinaikkan sehingga RM5,000 atau RM10,000 dan untuk mengelakkan aktiviti lumba haram itu.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) juga mungkin akan diberi kuasa untuk menyita dan menarik balik lesen bengkel yang mengubah suai motosikal bagi kegiatan lumba haram menerusi cadangan pindaan akta berkenaan.

“Selain itu, mereka yang terlibat lumba haram juga bakal dikenakan hukuman penjara, malah ibu bapa kepada remaja yang berusia di bawah 18 tahun yang didapati terlibat di dalam kegiatan lumba haram dan para penyokong serta penonton lumba haram juga akan dikenakan tindakan.

Kami pernah pinda akta berkaitan pemandu mabuk sebelum ini dan ia juga sudah dilaksanakan, nampaknya ia didapati berkesan iaitu dengan mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah memandu dalam keadaan mabuk, jadi pindaan kami harap pindaan ini (mat rempit) juga dapat berjaya,” katanya.

Lima lelaki maut manakala dua penunggang motosikal parah selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua kereta di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada pagi 17 Julai lepas.

Kemalangan pada pukul 4 pagi itu dipercayai berlaku akibat kegiatan sekumpulan mat rempit berlumba haram dan siasatan awal di lokasi mendapati, beberapa penunggang motosikal telah hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain dalam kejadian tersebut.

— BERNAMA

Views:

2859
Kongsi :
Previous post Beberapa pelajar SMK Melor cedera akibat tangki air pecah
Next post 1,000 malim gunung perhutanan bertauliah tahun depan
Ubah saiz-+=