Pilih ejen umrah berdaftar, elak ditipu – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

TANJUNG BIDARA 2 November – Kerajaan Negeri menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika memilih pakej umrah yang ditawarkan dengan harga murah bagi mengelak penipuan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, jemaah perlu memilih syarikat pengendalian pelancongan dan agensi pengembaraan yang berdaftar dengan Tabung Haji dan Kementerian Pelancongan sahaja.

“Jangan terpengaruh dengan tawaran yang murah, kenal pasti dahulu ejen pelancongan tersebut sama ada ia benar wujud, jika perlukan bantuan, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sedia membantu untuk semakan.

“Kita tidak boleh lepaskan begitu sahaja ejen yang menipu ini kerana ia melibatkan dana sangat besar dan menimbulkan kemarahan kepada orang ramai.

“Bukan hanya amaran tegas diberikan kepada mereka, malah tindakan tegas dengan menarik lesen perniagaan mereka akan dilakukan, selepas itu tindakan mahkamah susulan juga akan dibuat,” katanya.

Photo 2023 11 02 16 09 51
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berucap pada Majlis Perasmian Penutup Seminar Kesedaran dan Advokasi Penipuan Pakej Umrah Negeri Melaka 2023 di Auditorium Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka. Foto: MR. AZLI

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Seminar Kesedaran & Advokasi Penipuan Pakej Umrah Negeri Melaka Tahun 2023 di Kompleks Falak Al- Khawarizmi di sini, hari ini.

Hadir sama, Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Md Ramzi Ishak.

Program anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka itu mendapat kerjasama JAWHAR, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan JAIM.

Ujarnya, seminar itu secara tidak langsung memberi ilmu pengetahuan kepada orang ramai supaya membuat tempahan pakej umrah menerusi saluran yang betul.

“Saya yakin dengan taklimat disampaikan menerusi seminar ini, ia memberi kesedaran kepada bakal-bakal jemaah untuk memastikan ejen pelancongan dipilih mempunyai rekod yang baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

874
Kongsi :
Previous post Op Rahmah diteruskan musim tengkujuh, APM terima aset baharu
Next post 463 nelayan Melaka, Negeri Sembilan terjejas projek KLIP terima saguhati
Ubah saiz-+=