PIDATO RUKUN NEGARA PIALA TYT MELAKA CIPTA REKOD BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 29 Ogos – Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tahun 2024 mencipta rekod baharu apabila merekodkan penyertaan 3,775 peserta.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, jumlah itu sekali gus menunjukkan peningkatan seramai 714 peserta berbanding pada edisi tahun lalu.

“Mengikut pecahan Kategori Sekolah Rendah melibatkan 1,716 peserta, Kategori Sekolah Menengah seramai 1,808 peserta, Kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 88 peserta, Kategori Bukan Melayu (85 peserta) dan Kategori Awam (58 peserta).

“Terima kasih atas kerjasama baik semua ahli mesyuarat kerana membantu menambah bilangan penyertaan pertandingan pidato kali ini.

“Ini tahun kelima kita anjurkan program ini, sudah tentu pertandingan ini dapat melahirkan generasi mempunyai semangat patriotisme dan menjiwai Rukun Negara,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, peringkat akhir bagi pertandingan itu akan diadakan pada 12 September depan.

“Pertandingan ini merupakan acara tahunan melibatkan Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka dan Kerajaan Negeri bagi menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Semasa berjumpa Tuan Yang Terutama Tun (Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam), beliau juga mengingatkan dan menekankan Rukun Negara menjadi tonggak perpaduan antara kaum di Malaysia.

“Semoga hasrat Tun Dr. Mohd Ali dan usaha kita ini menjadi asbab kepada perpaduan dan kesatuan hati antara rakyat di Malaysia,” katanya.

Hee Sem bersama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman akan mempengerusikan Mesyuarat Induk Peringkat Akhir pertandingan berkenaan, hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

678
Kongsi :
Previous post JOM SERTAI PERARAKAN BOT SUNGAI MELAKA 31 OGOS INI
Next post TIKET PERCUMA: 1,000 BOLEH MASUK ZOO MELAKA SETIAP HARI
Ubah saiz-+=