Sorting by

×

Pidato Rukun Negara Piala TYT Melaka 2023 sasar 1,300 penyertaan

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

SERI NEGERI 19 Mei – Lima kategori dipertandingkan pada Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka 2023.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, pertandingan tersebut dianjurkan Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka bersama Kerajaan Negeri Melaka, dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara.

Katanya, penganjuran itu bertujuan menyuburkan semangat patriotisme dan cintakan negeri berasaskan prinsip Rukun Negara selain memberi pendedahan kepada masyarakat serta generasi muda agar memahami peranan Rukun Negara.

“Kita sasarkan 1,300 penyertaan untuk kesemua lima kategori yang bakal dipertandingkan iaitu kategori Sekolah Rendah (bergandingan), kategori Sekolah Menengah (bergandingan), kategori Institusi Pengajian Tinggi, kategori Bukan Melayu dan kategori Orang Awam.

“Dibandingkan tahun lalu, ada enam kategori termasuk kategori Penjawat Awam, namun tahun ini kategori tersebut dimansuhkan dan digabungkan dalam kategori Orang Awam.

“Perdaftaran dibuka dari 15 Mei hingga 28 Julai depan. Peserta akan dinilai menerusi video rakaman penyertaan yang dihantar kepada urusetia dan mereka yang layak akan ke pertandingan akhir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka 2023 di Bilik Mesyuarat Tun Fatimah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak, Prof Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata pertandingan akhir akan diadakan pada 14 September ini bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

“Hadiah yang bakal diberikan berupa wang tunai, buku dan sijil penyertaan.

“Kepada yang berminat untuk menyertai pertandingan ini boleh mengimbas kod QR yang tertera di poster pertandingan atau melayari laman sesawang rasmi untuk mengetahui syarat-syarat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2620
Kongsi :
Previous post Persediaan hadapi TMM2024 antara agenda mesyuarat agung BISTARI
Next post Tiga laluan kontra atasi kesesakan di ibu negara
Ubah saiz-+=