Sorting by

×

PIDATO RUKUN NEGARA PIALA TYT CIPTA REKOD BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 12 September – Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Edisi Kelima tahun ini mencipta rekod baharu apabila mencatatkan seramai 3,775 peserta.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sambutan luar biasa itu jelas menunjukkan bahawa minat peserta tanpa mengira kaum daripada pelbagai peringkat usia terhadap pertandingan berunsurkan patriotik dan perpaduan masih tinggi.

Menurut Ketua Menteri, apa yang menarik pertandingan itu bukan sahaja membabitkan peserta sekitar Melaka, sebaliknya turut menarik minat wakil dari Selangor, Johor, Perak, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu.

“Saya cukup berbangga kerana asbab penganjuran program seumpama ini, kita dapat menghimpunkan pemidato daripada pelbagai etnik dalam satu masa antaranya Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak sejajar dengan usaha menyemai elemen perpaduan melalui falsafah dalam pidato Rukun Negara.

“Kali ini kita buat julung kali memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Kategori Sekolah Rendah (Murid Berkeperluan Khas) dan Kategori Sekolah Menengah (Murid Berkeperluan Khas).

“Saya menyanjung tinggi semangat patriotisme yang dibawa oleh anak-anak istimewa yang turut serta dalam pertandingan ini. Kesungguhan anak-anak ini jelas menunjukan kekurangan diri bukan penghalang untuk mereka mempamerkan semangat cintakan negara. Syabas dan tahniah,” katanya ketika berucap merasmikan pertandingan itu yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Pertandingan tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem.

Dalam ucapannya, Ketua Menteri mewakili Kerajaan Negeri turut menyuarakan harapan agar semua rakyat khususnya di negeri ini dapat menyokong usaha kerajaan mewujudkan generasi yang berpegang teguh kepada budaya tradisi dan memperkukuh keharmonian kaum di tanah air tercinta ini.

“Inilah yang akan menjadi tonggak utama untuk kita terus mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

192
Kongsi :
Previous post 28 USAHAWAN MELAKA BERKAMPUNG DI MAHA 2024
Next post ‘CARAVAN PARK’ MENGHADAP SELAT MELAKA
Ubah saiz-+=