Sorting by

×

PIALA TUN TEJA MILIK DUN REMBIA

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

PENGKALAN BATU 14 OKTOBER – Wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia dinobatkan sebagai juara Kejohanan Sukan Tradisional Piala Tun Teja Peringkat Negeri Melaka 2024 yang julung kalinya dianjurkan.

Pengerusi Penyelaras Wanita DUN Rembia, Maziah Adahan Bashah berkata, pasukannya tidak menjangka akan merangkul piala Tun Teja kerana kesemua pasukan bertanding tidak kurang hebatnya.

“Kami masuk bertanding untuk memeriahkan kejohanan dan berharap juga untuk menang satu atau dua permainan, tetapi tidak sangka pula diumumkan sebagai juara keseluruhan.

“Tidak percaya pun ada apabila diumumkan DUN Rembia juara. Alhamdulillah berkat muafakat dan kerjasama antara ahli kumpulan rezeki kami bawa balik Piala Tun Teja ke Rembia,” katanya.

Maziah berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Sukan Tradisional Piala Tun Teja Peringkat Negeri Melaka 2024, yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Japerun Pengkalan Batu, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad, Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh serta .

Menurutnya, pada kejohanan sulung itu, DUN Rembia menghantar seramai 21 peserta dan mengambil bahagian dalam kesemua tujuh acara sukan yang dipertandingkan.

“Kejohanan ini bukan sahaja dapat menggalakkan rakyat untuk bersukan malah mengangkat semula sukan-sukan tradisional yang seakan sudah dilupakan.

“Untuk kali ini kami tampilkan peserta berusia antara 40-an hingga 65 tahun tetapi pada kejohanan akan datang kita akan tarik lebih ramai anak muda untuk sertai,” katanya.

Jelasnya, sekiranya Kejohanan Sukan Tradisional Piala Tun Teja dijadikan acara tahunan, DUN Rembia akan cuba sebaiknya untuk mempertahankan kejuaraan itu.

Terdahulu, pada kejohanan itu sebanyak 28 pasukan mewakili setiap DUN di negeri ini mengambil bahagian dalam tujuh acara sukan tradisional.

DUN Rembia diumumkan sebagai juara dan membawa balik Piala Tun Teja apabila berjaya mengumpul 27 mata manakala DUN Ayer Keroh berada di kedudukan naib juara dan DUN Lendu di tempat ketiga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

41
Kongsi :
Previous post MANGSA BANJIR TERIMA BANTUAN KECEMASAN
Next post BAWA PELANCONG JERMAN KE MELAKA
Ubah saiz-+=