PIALA TUN TEJA MARTABAT SUKAN TRADISIONAL

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

PENGKALAN BATU 13 Oktober – Penganjuran Kejohanan Sukan Tradisional Piala Tun Teja wajar diteruskan bukan sahaja untuk memperkasa semangat kesukanan malah memastikan sukan tradisional popular dalam kalangan wanita tidak ditelan perubahan zaman.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kejohanan yang mengetengahkan sukan tradisional dapat memartabatkan kembali permainan tradisional terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Ab Rauf berkata, generasi muda khususnya perlu sentiasa didekatkan kembali dengan aktiviti kesukanan dan permainan tradisional agar warisan itu terus subur dalam kalangan masyarakat.

“Pada hemah saya, program seperti ini wajar diteruskan pada masa akan datang dengan membuka peluang kepada seluruh lapisan wanita.

“Bukan sahaja dapat memperkasa kehebatan wanita melalui aktiviti sukan, malah mencerminkan usaha kita untuk memelihara serta memastikan permainan tradisional tidak ditelan arus perubahan zaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Sukan Tradisional Piala Tun Teja Peringkat Negeri Melaka 2024 di Japerun Pengkalan Batu, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu serta Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh.

Turut hadir, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem bersama Timbalan beliau Siti Faizah Abd Azis; serta Adun Pantai Kundor, Tuminah Kadi @Mohd Hashim.

Menurut Ab Rauf, permainan tradisional yang dipertandingkan bukan sahaja dapat mengimbau kembali memori sewaktu zaman kanak-kanak tetapi dapat menjadi penghubung silaturahim antara masyarakat.

“Saya cukup teruja melihat semangat kesukanan yang dipamerkan oleh saudari semua bagi merebut kejuaraan pertama Piala Tun Teja di bumi bertuah Melaka dan tahniah kepada semua peserta yang menyokong usaha ini.

“Malah program sebegini secara tidak langsung dapat menjalinkan hubungan silaturahim dan kesepakatan antara satu sama lain,” katanya.

Terdahulu, pada kejohanan yang julung kali diadakan itu sebanyak tujuh acara sukan tradisional dipertandingkan iaitu bola jaring, baling selipar, congkak, batu seremban, boling kelapa, baling telur dan bola ping pong dalam sudu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

127
Kongsi :
Previous post KANAK-KANAK PEREMPUAN HILANG KETIKA AMBIL MAKANAN DI KERETA, DITEMUKAN SELAMAT, DIPERCAYAI DICULIK
Next post AB RAUF SANTUNI PEMAIN INDUSTRI PELANCONGAN
Ubah saiz-+=