Sorting by

×

PIALA TUN TEJA JADI ACARA TAHUNAN

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

PENGKALAN BATU 14 Oktober – Kejohanan Sukan Tradisional Piala Tun Teja akan dijadikan acara tahunan dengan skala lebih besar dan pengisian acara yang lebih menarik.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, kejayaan penganjuran kali pertama kejohanan itu membuatkan banyak pihak termasuk Kerajaan Negeri menyuarakan hasrat agar ia diteruskan sebagai acara tahunan menerusi portfolio diterajuinya.

“Sudah pastinya saya amat berbesar hati apabila kejohanan ini mendapat sambutan dan berjalan dengan jayanya dengan menghimpunkan seramai 780 peserta dari 28 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Walaupun untuk menjayakan satu acara besar sebegini bukan senang tetapi atas kepercayaan yang diberikan oleh banyak pihak termasuk Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, kita akan teruskan kejohanan ini pada tahun akan datang.

“Jika tahun ini hanya tujuh acara sukan tradisional mungkin pada penganjuran akan datang akan ada pertambahan begitu juga dengan jumlah penyertaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Sukan Tradisional Piala Tun Teja Peringkat Negeri Melaka 2024, yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Japerun Pengkalan Batu, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh.

Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata, pemilihan sukan tradisional untuk dipertandingkan pada Piala Tun Teja adalah cetusan idea daripada Ketua Menteri.

“Jika kaum lelaki begitu rancak menganjurkan pertandingan dam aji kenapa golongan wanita tidak turut serta bermain sukan tradisional jadi daripada situ tercetuslah kejohanan ini.

“Sebenarnya banyak manfaat yang peserta peroleh selain dapat bersukan dan memartabatkan kembali sukan tradisional, mereka dapat mengeratkan lagi jalinan ukhuwah serta memupuk semangat kerjasama antara peserta,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

203
Kongsi :
Previous post ‘INGAT PENGORBANAN IBU BAPA, SEDIA BANGUNKAN JATI DIRI’
Next post JASIN BAH, 275 MANGSA DIPINDAHKAN KE PPS
Ubah saiz-+=