Piala Tun Ali: Melaka akan cuba lagi!
BANDAR MELAKA 22 Ogos – Melaka bertekad akan terus berusaha lebih lagi bagi meraih gelaran juara dalam apa jua kejohanan Sepak Takraw pada masa akan datang.
Jurulatih Persatuan Sepak Takraw Melaka (Pastam), Khairul Anuar Ibrahim berkata, biarpun pasukannya sekadar meraih gelaran naib johan acara regu dan beregu pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2022, namun ia bukan titik penamat.
Meskipun gagal pada perlawanan akhir, namun dia tetap berbangga dengan semangat juang pemain yang mampu sampai hingga ke pentas akhir.
“Alhamdulillah pasukan Melaka bejaya menjadi naib juara dalam dua kategori kali ini, terima kasih saya ucapkan kepada semua peminat sukan yang tidak henti henti memberikan semangat kepada pasukan di sepanjang perlawanan ini.
“Kali ini mungkin kita gagal untuk mendapatkan piala itu, namun insya-Allah kami akan kembali lagi selepas ini.
“Walau apapun, saya tetap bangga kerana semua pemain berusaha sehabis baik meskipun mengalami kecederaan untuk sampai ke tahap ini,” katanya pada sidang media aksi final yang berlangsung di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Bukit Serindit, di sini, semalam.
Pada edisi sulung ini, Johor muncul juara kategori regu, manakala Perak merangkul gelaran juara kategori beregu selepas masing-masing menewaskan Melaka selaku tuan rumah.
Sementara itu, Jurulatih Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ), Ahmad Jais Baharun berkata, kemenangan itu nyata menyuntik semangat untuk pasukan itu meraih lebih kejuaraan di masa akan datang.
Katanya, selepas ini Johor akan menumpukan pada kejuaraan berikutnya dalam misi untuk terus menakluk arena sepak takraw di negara ini.
“Selepas ini kita akan terus fokus pada perlawanan berikutnya iaitu Piala Emas Khir Johari dijadual pada November depan serta Liga Sepak Takraw (STL) dijadual pada Januari tahun hadapan.
“Dalam pertandingan ini kita sering ingatkan kepada pemain agar terus fokus dan mampu menempa nama ke peringkat akhir kerana kita sedar pelbagai tekanan yang telah kita hadapi yang bukan saja datang dari pemain namun penyokong juga.
“Saya ingatkan kepada pasukan bahawa kita kena perhalusi di tahap maksimum untuk kekal terbaik bagi mencapai kejayaan seperti yang dicapai hari ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.