Sorting by

×

PIALA TUN ALI 2024: USAHA KERAS KL TUAI KEMENANGAN BERGANDA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

DUYONG 9 Disember – Pengurus pasukan Kuala Lumpur (KL), Mohd Zambri Abd Rahman menyifatkan kejayaan skuadnya pada Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2024 merupakan hasil kerja keras pasukannya sejak kira-kira enam bulan lalu.

Menurutnya, berbanding kejohanan lalu, pada edisi ketiga ini persembahan dan prestasi ditunjukkan amat baik serta terdapat peningkatan.

“Pencapaian pada edisi ini secara keseluruhan melepasi sasaran yang diletakkan apabila melangkah lebih jauh meskipun nasib tidak menyebelahi bagi acara beregu lelaki yang gagal melepasi pusingan separuh akhir.

“Sejurus tamat Piala Dunia Sepaktakraw 2024 pada Mei lepas, pasukan sudah mula membuat persiapan rapi dan hasil usaha kerja keras itu berjaya membuahkan hasil apabila regu lelaki muncul juara,” katanya selepas Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2024 yang berlangsung di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bukit Serindit, semalam.

Dalam perlawanan akhir itu, KL yang diperkuatkan dengan gandingan Amirul Zazwan Amir, Syahir Rosdi dan pemain import dari Thailand Aekkasit Naphom berjaya menundukkan Perak 2-0, sekali gus dinobat johan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 bersama medal dan trofi.

Lebih manis, KL turut dinobat juara dalam acara regu wanita selepas berjaya menundukkan Perak 2-1, seterusnya melengkapkan malam gemilang skuad ibu kota itu.

Sementara itu, acara beregu lelaki pula menyaksikan Kedah berjaya menamatkan penantian selama 10 tahun dalam arena sepak takraw selepas muncul juara apabila menundukkan Perak 2-0 pada perlawanan akhir.

Penasihat Pasukan Kedah, Ridzuan Ahmad berkata, pencapaian yang ditunjukkan pasukannya itu memberi ‘signal’ awal kebangkitan pasukan seperti di era legenda raja libas tanah air, Allahyarham Adnan Saidin dan Abd Malik Samsudin.

“Alhamdulillah kita berjaya bina semula pasukan Kedah selepas 10 tahun kita menunggu. Sebelum ini Kedah adalah sebuah pasukan yang terkenal dengan raja sepak takraw dan selepas itu kita kehilangannya.

“Ini sesuatu yang kita cari dan pastinya pencapaian pada kejohanan ini akan kita teruskan dan berusaha dengan lebih keras untuk menjadi antara pasukan yang memberi saingan sengit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

184
Kongsi :
Previous post PEKERJA PEMBERSIHAN MENANG KERETA, HAJAT MAHU BAWA ANAK MAKAN ANGIN TERMAKBUL
Next post ‘KALAU IBU ADA, PASTI LEBIH MERIAH’
Ubah saiz-+=