Sorting by

×

Piala Malaysia: Selangor dan UiTM FC guna gelanggang luar

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Pasukan Selangor dan UiTM FC terpaksa melupakan hasrat beraksi di laman sendiri pada pusingan pertama Piala Malaysia 2020 bermula Jumaat ini, susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang sehingga 9 Nov.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, skuad Gergasi Merah yang menjadikan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang tuan rumah akan melayani pasukan Melaka di Stadium Hang Jebat di negeri bersejarah itu pada Ahad.

Sementara UiTM FC yang turut berpangkalan di Shah Alam, akan menjadikan Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak sebagai venue tuan rumah menentang Kelantan, yang juga berlangsung pada Ahad.

MFL turut mengesahkan perlawanan antara Terengganu FC menentang PJ City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu dan perlawanan membabitkan Perak dengan Kelantan United FC di Stadium Perak, Ipoh, akan berlangsung pada Sabtu.

Dalam pada itu, tiga aksi melibatkan perlawanan Pulau Pinang melawan Felda United FC di Stadium Bandaraya; Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kuching FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin dan pertembungan Kedah berdepan Pahang di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Jumaat.

“Penjadualan perlawanan Piala Malaysia sudah dirancang dengan baik dan semua pasukan termasuk yang terpaksa beraksi di venue luar sudah bersedia untuk mengharungi perlawanan pusingan pertama,” jelas  Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan dalam kenyataan itu

Ab Ghani berkata bagi memastikan kelancaran saingan dalam tempoh COVID-19, MFL tidak akan berkompromi berkaitan pematuhan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP), dengan kesemua aksi mesti berpandukan Garis Panduan Pengelolaan Perlawanan Liga Malaysia 2020 tanpa penonton.

“Diingatkan sebarang kegagalan mematuhi dan pelanggaran SOP oleh pasukan merupakan satu kesalahan serius dan akan dikenakan tindakan yang sewajarnya oleh MFL. Sebarang perubahan atau pindaan kalendar dan jadual adalah tertakluk kepada keputusan Ahli Lembaga Pengarah,” katanya.

– BERNAMA

Views:

803
Kongsi :
Previous post Lokasi Empangan Jerneh dalam Melaka
Next post Kan dah kena…
Ubah saiz-+=