Sorting by

×

Piala Malaysia: Realiti pahit yang perlu ditelan

Masa Membaca:4 Minit, 19 Saat

TIDAK dinafikan agenda keselamatan dan kesihatan rakyat menjadi keutamaan kerajaan dalam memerangi pandemik COVID-19 hingga membawa kepada keputusan membatalkan saingan Piala Malaysia 2020.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) berpendapat bola sepak membabitkan sentuhan sesama pemain boleh menyebabkan risiko jangkitan COVID-19 namun sejak penularan pandemik itu di Malaysia, belum ada lagi kes dilaporkan berpunca daripada aktiviti bola sepak profesional.

Malah, saingan Liga Super dan Liga Premier musim ini juga ditamatkan tanpa kes positif COVID-19 disebabkan disiplin 24 pasukan bertanding yang tidak pernah gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Namun, episod menyedihkan buat peminat dan seluruh warga bola sepak apabila saingan Piala Malaysia dibatalkan selepas pusingan pertama berjaya dijalankan sedangkan kejohanan bola sepak tertua di Asia Tenggara itu hanya berbaki tiga pusingan – suku akhir, separuh akhir dan akhir.

Alangkah baiknya jika kerancakan saingan Piala Malaysia diteruskan sekali gus dapat memelihara prestij kejohanan yang bakal meraikan ulang tahun ke-100 penganjurannya musim depan, dan selepas diperkenalkan pada 1921 sebagai H.M.S Malaya dan Malaya Cup ia hanya dihentikan pada era penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

BOLA SEPAK SEBAGAI ‘HIBURAN’ RAKYAT MARHAEN

Pada masa sama, kerancakan saingan Piala Malaysia 2020 menjadi elemen ‘hiburan’ buat komuniti sukan khususnya bola sepak bagi melepaskan lelah seharian dan mengatasi tekanan hidup yang mungkin dihadapi kesan daripada COVID-19.

Dilaporkan pusingan pertama Piala Malaysia 2020 membabitkan lapan perlawanan merekodkan 6.6 juta tontonan di platform YouTube dengan pertembungan epik antara Kedah dan Pahang berjaya meraih jumlah tertinggi iatu 2.1 juta tontonan.

Foto Sumber Pahang FA

Sokongan padu peminat kepada saingan bola sepak tempatan tidak pernah mengecewakan apabila baki perlawanan Liga Super dan Liga Premier mencatatkan 29.3 juta tontonan meskipun ditangguhkan hampir lima bulan sebelum bersambung pada penghujung Ogos lepas.

Lantas keputusan kerajaan yang bertegas tidak membenarkan Piala Malaysia berlangsung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mengundang pelbagai reaksi netizen di media sosial.

“Jika pusingan suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir Piala Malaysia 2020 dapat diteruskan pasti impak tontonan lagi besar dan menjadi satu perkembangan positif kepada industri bola sepak negara,” antara pandangan netizen di laman Facebook.

ANTARA DUA DARJAT: BOLA SEPAK DAN PROGRAM HIBURAN

Ramai juga mempersoalkan mengenai program hiburan televisyen yang dibenarkan sementara Piala Malaysia 2020 dikorbankan walaupun Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah bersedia dengan perancangan khas dan pematuhan SOP lebih ketat.

Jika dilihat, individu yang terlibat dalam kerja-kerja di depan atau belakang tabir dalam kedua-dua sektor ini hampir sama jumlahnya.

Program hiburan secara langsung memerlukan kekuatan tenaga pekerja yang ramai bagi memastikan kelancaran program, begitu juga dengan perlawanan bola sepak, namun hanya sukan nombor satu negara ini perlu berdepan cabaran.

“Kebal betul penganjuran konsert hiburan, langsung tidak diusik. Liga Malaysia, Piala Malaysia ditunda dua tiga kali sampai ada suruh batal,” antara ciapan peminat di Twitter.

Memang diakui faktor emosi juga menyumbang kepada kesihatan mental seseorang apatah lagi dalam keadaan semasa yang sedikit sebanyak menyekat naluri manusia yang suka bersosial dan bebas bergerak tanpa sekatan.

SOP SETANDING PENGANJURAN KEJOHANAN ANTARABANGSA

Dalam usaha memastikan saingan Piala Malaysia diteruskan, MFL tampil dengan cadangan bernas untuk mengadakan perlawanan di negeri-negeri dikecualikan pelaksanaan PKPB dengan Kota Bharu dan Kuantan menjadi lokasi pilihan.

Badan pengelola itu juga tidak membenarkan kehadiran penonton ke stadium sebagai langkah meminimumkan risiko jangkitan selain barisan pemain, pegawai pasukan serta pengadil bertugas diwajibkan menjalani ujian calitan COVID-19.

MFL turut mencadangkan perlawanan Piala Malaysia diadakan secara berpusat seperti konsep diguna pakai Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam penganjuran Liga Juara-Juara UEFA dan Liga Juara-Juara AFC musim ini.

Format perlawanan Piala Malaysia 2020 juga diubah menyaksikan saingan berlangsung secara kalah mati satu pusingan seperti dipratikkan di Liga Juara-Juara AFC dan Liga Juara-Juara UEFA sebagai langkah mengurangkan jumlah perlawanan dan risiko jangkitan.

Pusingan kalah mati saingan Liga Juara-Juara UEFA ditukar ke Lisbon, Portugal berbanding lokasi asal di Istanbul, Turki sementara Liga Juara-Juara AFC memilih Doha, Qatar sebagai lokasi bagi menyempurnakan saingan musim 2020.

 

KEPUTUSAN TEPAT CEGAH GELOMBANG KETIGA COVID-19

Bagaimanapun, pakar perubatan sukan Institut Sukan Negara (ISN) Dr Jasmiza Khuzairi Jasme berpendapat keputusan kerajaan itu langkah paling tepat untuk menyekat penularan gelombang ketiga COVID-19.

Doktor pasukan bola sepak kebangsaan itu berkata meskipun mematuhi SOP, risiko berlaku penularan tetap ada berdasarkan statistik semasa COVID-19 yang telah berada dalam komuniti masyarakat di negara ini.

Dr Jasmiza turut mengambil contoh beberapa pemain bola sepak ternama dunia seperti Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic dan Paul Pogba yang dijangkiti wabak tersebut walaupun tiada gejala penyakit dikesan (asymptomatic).

“Ramai pesakit atau individu dijangkiti tidak mempunyai apa-apa simptom, sukar untuk ketahui siapa dijangkiti atau tidak. Jadi, sebarang program melibatkan jumlah individu yang ramai tetap berisiko untuk berlaku penularan.

“Walaupun keputusan MKN mendatangkan rasa marah tetapi perkara yang cuba dielakkan adalah kluster baharu daripada perlawanan Piala Malaysia. Apabila satu jangkitan berlaku, ramai pihak termasuk pasukan, pasukan lawan, pengadil, MFL, pengurusan stadium, pemandu bas dan ahli keluarga turut terkesan,” katanya kepada Bernama.

Katanya, jika wujud kes akibat daripada perlawanan Piala Malaysia, ia menjadi satu proses rumit dan berpanjangan dalam mengesan kontak rapat selain turut melibatkan pelbagai langkah untuk menyekat penularan wabak yang masih belum menunjukkan isyarat penamatnya.- BERNAMA

Views:

620
Kongsi :
Previous post COVID-19: Empat positif, empat sembuh di Melaka
Next post Permohonan GKP 2.0 lebih 512,000 – Tengku Zafrul
Ubah saiz-+=