Sorting by

×

Piala Malaysia: Pasukan sedia terima penonton kembali kes stadium

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

KUALA LUMPUR 1 Okt – Kesemua 16 pasukan yang beraksi dalam Piala Malaysia 2021 sudah bersiap sedia menerima kembali kehadiran ‘pemain ke-12’ ke stadium bermula 29 Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard, menyifatkannya sebagai penantian berbaloi kerana sudah lama tidak menerima kehadiran penyokong, selain menganggap tempoh rehat sebulan liga digunakan sebaik mungkin bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) diperlukan untuk menyambut kembali penonton ke stadium.

“Saya sangat berbesar hati mendengar pengumuman ini walaupun pada pandangan saya mungkin boleh diberikan lebih awal tetapi itu tidak mengapa asalkan penyokong akhirnya dapat kembali ke stadium.

“Kita rasa bertuah kerana sebelum ini Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur menjadi satu daripada stadium contoh mempelajari SOP selain Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di Johor jadi banyak perkara kita boleh lihat dalam perbaiki sebarang kelemahan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Dalam pada itu, CEO Kedah Darul Aman FC, Khamal Idris Ali pula melihat kepada aspek kewangan yang semestinya akan membantu pasukan selepas ini dengan kehadiran semula penyokong ke stadium.

Meskipun belum diumumkan kapasiti penonton dibenarkan hadir, beliau percaya penyokong Kedah mampu mengikuti SOP dengan teratur seperti dilakukan sebelum ini, yang mana perlawanan terakhir berlangsung dengan kehadiran penonton di stadium adalah pada 9 Mei lalu.

“Ditambah Piala Malaysia sedang berlangsung, saya rasa peminat Kedah pasti akan berpusu-pusu mahu menyaksikan aksi pasukan kesayangan mereka kerana aura kejohanan ini sentiasa memikat penyokong,” katanya.

Sementara itu, CEO Melaka United FC, Datuk Wira Justin Lim Hwa Tat pula memberi jaminan penonton yang hadir ke stadium adalah mereka bebas daripada jangkitan COVID-19 dan tiada seorang pun individu tidak bertanggungjawab akan terlepas daripada kawalan sekiranya tidak lengkap dua dos vaksin seperti ditetapkan.

Justin juga menzahirkan ucapan penghargaan terima kasih kepada kerajaan atas pengumuman kebenaran penonton yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk kembali ke stadium menyaksikan perlawanan bola sepak musim ini.

Pihak MFL ketika ini masih menunggu peratusan kemasukan penyokong ke stadium di negeri-negeri mengikut fasa dua, tiga dan empat yang akan dimaklumkan Kementerian Belia dan Sukan bersama dengan SOP sukan ditetapkan.

Pada 29 September, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa individu yang lengkap divaksinasi dibenarkan hadir menonton perlawanan sukan dan rekreasi kecuali kanak-kanak bawah umur 18 tahun, berkuat kuasa hari ini.

Saingan Piala Malaysia berehat selama sebulan bermula esok bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan untuk menghadapi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Jordan pada 6 Oktober dan Uzbekistan pada 9 Oktober, dengan kedua-dua aksi berlangsung di Amman, Jordan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

511
Kongsi :
Previous post ‘Kami memang dah bersedia’ – pemain industri pelancongan
Next post BERSATU sokong Sulaiman sebagai KM Melaka
Ubah saiz-+=