Piala FA: 100 bas bawa 4,000 penyokong JDT berlepas ke Bukit Jalil
JOHOR BAHRU, 10 September – Kira-kira 100 bas yang dianggarkan membawa 4,000 penyokong pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dari seluruh daerah berlepas ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pagi ini untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA.
Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak JDT Mohd Fadzli Sapie berkata para penyokong tidak sabar untuk menyaksikan pertembungan skuad Harimau Selatan menentang Terengganu FC (TFC) malam ini.
Beliau berkata kelab itu menyediakan 12 bas bagi membawa penyokong dari Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin, di sini yang berlepas pada 8 pagi tadi.
“Di Stadium Larkin (Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos) sahaja kita menyediakan 12 bas dengan 455 penyokong… di Stadium Sultan Ibrahim (Iskandar Puteri) pun ada juga bagi membawa penyokong Boys Of Straits.
“Begitu juga penyokong di Muar, Segamat dan Tangkak… saya anggarkan lebih kurang 100 bas dari Johor ke Stadium Nasional Bukit Jalil pagi ini,” katanya kepada Bernama di pekarangan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos hari ini.
Mohd Fadzli berkata aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan dan pihaknya telah bermesyuarat dengan pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi memastikan langkah keselamatan penyokong.
“Semua penyokong telah diberikan taklimat selepas kita dapat prosedur operasi standard (SOP) daripada MFL.
“Kita mahu elak provokasi dan perkara yang menimbulkan kemarahan, malah SOP untuk masuk stadium pun kita tekankan. Bagi saya penyokong JDT sangat berdisiplin tentang SOP dan keselamatan,” katanya.
Sementara itu, rata-rata penyokong tegar JDT yakin trofi Piala FA akan menjadi milik pasukan itu.
Mohamad Amirul Akmal Shahrudin, 29, berkata skuad Harimau Selatan di bawah kendalian Hector Bidoglio mampu membenam Skuad Penyu sekurang-kurangnya 3-0.
“Kita mengharapkan kemenangan JDT malam ini, sebenarnya berapa banyak gol tidak menjadi perkara utama kerana jaringan yang berjaya dimasukkan ke gawang lawan itu lebih penting,” katanya.
Nur Ain Halim, 39, yang membawa dua anaknya bagi menyaksikan perlawanan itu berkata biar apa pun keputusan pada malam ini, penyokong JDT tetap teguh bersama pasukan dan akan terus memberikan sokongan moral.
“Saya dan anak-anak memang peminat tegar bola sepak dan sanggup ke stadium untuk tengok perlawanan. Kita memang mengharapkan kemenangan kepada JDT,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.