Sorting by

×

Piala Datin Seri Utama Munira beri ‘nyawa’ kepada Liga bola sepak wanita

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

SERI BENDAHARA 2 Mac – Kejohanan Piala Datin Seri Utama Munira menambah satu lagi trofi berprestij bagi penganjuran pertandingan bola sepak wanita tempatan.

Pengerusi Pertandingan merangkap EXCO Wanita Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah berkata, sebelum ini antara trofi berprestij menjadi idaman pasukan bolasepak wanita adalah Piala Tun Sharifah Rodziah.

Beliau menyifatkan penganjuran kejohanan itu bukan setakat memeriahkan sebaliknya memberi makna lebih besar kerana dianggap sebagai memberi ‘nyawa’ kepada arena bola sepak wanita tempatan.

Menurutnya, sebagai permulaan, liga berkenaan akan menampilkan lapan pasukan dari Melaka, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dan akan berlangsung di Padang 10, Kompleks Sukan Hang Jebat, Paya Rumput bermula 5 Mac ini.

Katanya, penganjuran liga bola sepak wanita negeri Melaka antara usaha mengangkat sukan terbabit dalam kalangan kaum hawa yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan negara Asia lain.

“Pada awalnya kita hanya buka penyertaan kepada pasukan dalam negeri sahaja, namun atas permintaan dan sambutan memberangsangkan akhirnya kita terima juga penyertaan luar seperti Kuala Lumpur serta Pulau Pinang.

“Formatnya sama seperti liga bola sepak lelaki, kerana kita mahu tingkatkan mutu dan kualiti permainan wanita dalam sukan ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Liga Bola Sepak Wanita Melaka 2022, Piala Datin Seri Utama Munira di Seri Bendahari, petang tadi.

Majlis tersebut dilancarkan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama, Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Utama Munira M Yusop, EXCO Belia dan Sukan negeri, V Shanmugam dan EXCO Wanita negeri, Datuk Kalsom Noordin.

Mengulas lanjut, Siti Faidul Maisarah berkata hadiah yang ditawarkan berupa wang tunai RM3,000 beserta piala pusingan dan medal buat juara, RM2,000 beserta medal buat naib juara dan RM1,500 serta medal buat tempat ketiga.

Tambahnya, kejohanan itu juga akan mematuhi dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan namun bergantung kepada situasi semasa.

“Kita jangkakan kejohanan liga wanita ini akan berakhir selepas sambutan Aidilfitri depan. SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan dipatuhi,” katanya

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1381
Kongsi :
Previous post Melaka lancar liga bola sepak wanita buat julung kalinya
Next post Kemenangan BN di Paloh akan jadi pemangkin pembangunan kawasan – Hishammuddin
Ubah saiz-+=