‘PHOTOBOOTH’ UNTUK GENG RXZ DI DATARAN KERIS, PANTAI PENGKALAN BALAK
ALOR GAJAH 22 November – Dataran Keris Alor Gajah dan Pantai Pengkalan Balak dalam daerah Alor Gajah dijangka bakal menjadi tumpuan peserta RXZ Members Ride Edition Melaka Chapter pada 6 dan 7 Disember depan.
Ia selepas Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) menyediakan platform bergambar (photobooth) di dua lokasi ikonik itu sempena program berkenaan.
Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, dua lokasi itu dipilih memandangkan ia mempunyai pelbagai tarikan yang boleh menggamit kehadiran peminat sukan dua roda itu.
Jelas beliau, Pantai Pengkalan Balak, misalnya, bukan sahaja mempunyai pantai yang cantik dan bersih, malah terdapat pelbagai tarikan seperti Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Padang Kemunting, selain mempunyai banyak inap desa menarik untuk peserta menginap bersempena acara yang berlangsung selama dua hari itu.
“Manakala Dataran Keris Alor Gajah pula dapat menggamit kehadiran peserta menikmati produk makanan tempatan yang popular, antaranya Cucur Udang Alor Gajah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut TPr Saifuddin, pemasangan photobooth itu akan dilakukan bermula 5 hingga 8 Disember di lokasi yang dinyatakan.
Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan RXZ Members Ride Edition Melaka Chapter yang diadakan pada 6 dan 7 Disember dijangka menarik kehadiran lebih 40,000 peminat motosikal legenda Yamaha RXZ.
Pelbagai pengisian akan diadakan sepanjang dua hari di Dataran MITC Ayer Keroh dan tarikan utama yang disediakan adalah cabutan bertuah yang menawarkan sebuah Proton X50, selain motosikal Yamaha RXZ Klasik dan Yamaha Y15.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.