PH setuju Parlimen tidak dibubar sebelum 31 Julai 2022

Masa Membaca:2 Minit, 30 Saat

KUALA LUMPUR 14 Sept – Pakatan Harapan (PH) bersetuju Parlimen tidak akan dibubar sebelum 31 Julai 2022 sebagai usaha mencapai kestabilan politik di negara ini bagi memerangi pandemik COVID-19.

Penyelaras Ketua Whip Ahli Parlimen PH Anthony Loke Siew Fook berkata, tidak wujud keperluan untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) secara mengejut, sebaliknya fokus sepenuhnya kini adalah kepada usaha memerangi COVID-19.

“Aspek penting dalam persefahaman ini adalah mengembalikan kestabilan politik. Satu elemen penting dalam persefahaman adalah dengan kerjasama ini maka kerajaan juga telah berikan janji bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai 2022.

“Jadi, fokus sepenuhnya untuk memerangi COVID-19,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan PH di Bangunan Parlimen, semalam.

Selain itu, beliau berkata persetujuan bagi masa pembubaran Parlimen itu bertujuan membolehkan transformasi Parlimen dilaksanakan antaranya dengan mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen dan pembentangan Akta Anti Lompat Parti.

“Ini memberikan masa, garis masa kepada pelaksanaan perkara-perkara yang dipersetujui bersama bahawa setiap perkara yang dipersetujui itu ada tarikh akhirnya.

“Umpamanya Akta Anti Lompat Parti garis masanya ialah sesi pertama tahun depan manakala Akta Perkhidmatan Parlimen paling lewat mesti dibawa pada sesi kedua tahun depan,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Persekutuan dan PH melakar sejarah negara apabila buat pertama kali menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang membentuk satu kerjasama dwipartisan dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

MoU itu mempunyai enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Loke berkata, persefahaman itu merupakan dokumen penting yang menunjukkan komitmen kedua-dua pihak untuk melihat transformasi politik itu berlaku, sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat.

Sementara itu, Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata peranan PH sebagai pembangkang adalah kekal sekalipun MoU itu dimeterai.

Saifuddin Nasution, yang juga Setiausaha Agung PKR, berkata PH tidak akan terlibat dengan fungsi eksekutif sebaliknya akan terus bertanggungjawab berperanan sebagai pembangkang di bawah Parlimen iaitu bagi semak dan imbang, pengawasan serta menggubal undang-undang dan dasar.

“MoU ini bukan bermakna SD sokongan kepada kerajaan. Kita bertekad teruskan konsep dwipartisan dan kekal menjalankan fungsi sebagai pembangkang. Jika ada kelemahan dari segi tatakelola kerajaan, kita tetap akan bangun bersuara,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata semua perkara yang dipersetujui juga akan dipantau oleh jawatankuasa pemandu yang terdiri daripada lima individu daripada pembangkang dan kerajaan yang akan memastikan semua agenda terlaksana dalam masa yang ditetapkan.

Ditanya mengapa baru sekarang PH bersetuju memeterai MoU dengan kerajaan, beliau menjelaskan tawaran yang hampir sama sebelum ini pernah dibuat oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun ketika itu Muhyiddin telah hilang keabsahan sebagai perdana menteri.

“Yang lepas, ketika itu PM (Muhyiddin) sudah pun hilang 15 sokongan Ahli Parlimen, PM yang sudah hilang keabsahan tidak boleh membuat sebarang tawaran. Ia juga untuk mengekalkan hayat sebagai pemimpin.

“Pada ketika ini tawaran perundingan adalah mendokong hasrat membawa kestabilan dan kedua-dua belah akan memberi sumbangan yang efektif dan penuhi titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

366
Kongsi :
Previous post Usul pemilihan timbalan speaker antara fokus Dewan Rakyat hari ini
Next post Hari Malaysia, penyatuan rakyat sebagai ‘Keluarga Malaysia’ – Bung Moktar
Ubah saiz-+=