PH lapor polis, ejen pusat mengundi diarah keluar
AYER MOLEK 20 Nov – Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis selepas mendakwa seorang ejen pusat mengundi diarahkan keluar daripada saluran mengundi, pagi tadi.
Kejadian didakwa berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Bendahara Seri Maharaja, kira-kira jam 10 pagi tadi.
Calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Mohd Rafee Ibrahim mendakwa, kejadian berlaku ketika ejen pusat mengundi diarah keluar oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM) dengan alasan sudah bertugas lebih dua jam.
“Namun ejen parti lain yang sama-sama bertugas tidak diarahkan keluar. Selepas itu polis mengarahkan PA (poll agent) mewakili saya keluar.
“Penugasan PA mengikut undang-undang, tempoh minimum atau paling singkat dibenarkan adalah dua jam dan disebabkan kami tidak bersedia dengan PA lain, proses pengundian tanpa PA mewakili PH diteruskan kira-kira 30 minit,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan PH Ayer Molek, hari ini.
Menurut Rafee, pihaknya menggesa pihak berkuasa menyiasat kemungkinan yang berlaku ketika ketiadaan ejen PH dalam saluran mengundi berkenaan.
“Satu laporan dibuat di Balai Polis Kandang, pada jam 10.47 pagi tadi dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seharusnya meletakkan pegawai KTM yang cukup terlatih serta memahami klausa yang terkandung dalam Akta SPR 1954,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.