PGA7 rampas ubat batuk bernilai RM192,000
Pegawai Pemerintah Medan PGA7 Superintendan Azhari Nusi berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 21 tahun yang juga pemandu lori membawa barangan rampasan berkenaan.
Beliau berkata rampasan dilakukan selepas pasukannya menerima maklumat berkaitan sebuah lori jenis Hicom Perkasa yang dilihat dalam keadaan mencurigakan di hadapan Sekolah Pendidikan Khas Kelantan di Pasir Mas.
“Hasil pemeriksaan lanjut di bahagian belakang lori tersebut menjumpai sebanyak 40 kotak berwarna coklat yang mana di dalam kotak-kotak tersebut didapati ada pula sebanyak 160 gelen cecair ubat batuk,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azhari, siasatan awal mendapati bekalan ubat batuk itu diperoleh daripada seorang lelaki di Puchong Perdana, Selangor.
“Seterusnya, bekalan ubat ini dibawa menggunakan lori ke Kelantan dan disembunyikan dengan barangan tilam bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Bekalan ubat batuk jenis Kodien ini adalah untuk pasaran tempatan dan juga sebahagian lagi untuk diseludup masuk ke Thailand bagi pemprosesan lanjut di negara tersebut,” katanya.
Susulan rampasan itu, Azhari berkata polis juga telah menahan suspek yang juga pemastautin tetap serta dan merampas kesemua barang kes untuk tindakan lanjut.
Katanya, hasil daripada ujian saringan awal polis mendapati suspek negatif dadah tetapi polis akan terus membangunkan risikan maklumat berkaitan suspek lain yang mungkin terlibat dengan pembekalan ubat batuk secara haram ini.
“Pihak polis juga turut merampas wang tunai sebanyak RM891 yang dipercayai hasil jualan ubat batuk daripada suspek tersebut.
“Kesemua suspek dan barang rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.