PGA rampas sarang burung, vape bernilai RM410,000
Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Supt Nor Azizan Yusof berkata dalam kejadian pertama di pangkalan haram Limau Purut, sepasukan anggota merampas sebanyak 23.5 kilogram sarang burung layang-layang bernilai RM188,000.
Beliau berkata dalam kejadian tersebut, anggotanya sedang membuat rondaan apabila terserempak tiga orang lelaki sedang memunggah kotak menggunakan tiga buah motosikal.
“Sebaik menyedari kehadiran anggota PGA, tiga lelaki itu kemudian telah memecut motosikal dan membuang kesemua kotak terbabit di sebuah kedai bunga, sebelum melarikan diri.
Pemeriksaan lanjut mendapati kotak-kotak itu berisi sarang burung layang-layang disyaki diseludup masuk dari Thailand, kerana ada permintaan tinggi di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, kesemua rampasan itu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 11(1) Akta MAQIS 2011.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan ke sebuah rumah kosong di kampung yang sama, sebanyak 1,350 botol cecair vape pelbagai perisa dan 1,450 unit peralatan menghisap vape bernilai RM222,000 turut dirampas.
Nor Azizan berkata kesemua barangan itu sengaja disembunyikan di sebuah rumah tidak bernombor dan tidak berpenghuni tersebut, bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Kita percaya rumah itu dijadikan transit sementara sebelum barangan itu diseludup ke negara jiran, melalui pangkalan haram berdekatan.
Kesemua barangan rampasan itu akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.