Sorting by

×

PGA rampas pakaian, beg, jean tiruan bernilai RM200,000

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

PASIR MAS, 20 April – Polis merampas pelbagai jenis seluar jean, selipar dan beg berjenama tiruan bernilai lebih RM200,000 selepas menahan sebuah lori serta dua lelaki di Pasar Besar Tasek Raja, di sini semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Supt Azhari Nusi berkata kegiatan dua lelaki berumur 29 dan 35 tahun yang juga pemandu dan kelindan lori itu yang dalam keadaan mencurigakan dikesan pada 7.30 malam oleh sepasukan anggota selepas waktu berbuka puasa.

“Anggota yang melakukan rondaan dan pemantauan telah ternampak sebuah lori jenis Isuzu warna putih di Pasar Tasek Raja dan terus membuat penahanan.

“Pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak polis ke atas kenderaan tersebut telah menjumpai sejumlah 3,181 helai pakaian berjenama bernilai RM191,860, 250 pasang selipar bernilai RM15,000 dan tujuh beg wanita bernilai RM1,750 di bahagian belakang lori dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM208,610,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata turut dirampas adalah sebuah lori jenis Isuzu bernilai RM70,000 yang digunakan bagi mengangkut barangan tersebut menjadikan keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM278,610.

Azhari berkata kesemua barangan tersebut dipercayai diseludup masuk ke negara ini melalui pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand.

Katanya, barangan ini yang dipercayai palsu kemudiannya akan diedarkan ke beberapa lokasi di sekitar Kota Bharu bagi memenuhi permintaan yang tinggi pada musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Suspek dalam kes ini mengaku menerima gaji bulanan RM1,800 serta komisen bergantung kepada jumlah kekerapan penghantaran yang dilakukan.

“Tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah dan tindakan lanjut oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atas kesalahan di bawah Akta Cap Dagang 2019,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1123
Kongsi :
Previous post Rumah baharu anugerah terindah Ramadan
Next post 528 tahanan etnik Rohingya lolos
Ubah saiz-+=