PGA rampas mercun bernilai lebih RM500,000 di JB dan Muar
JOHOR BAHRU, 19 April – Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dan penjualan mercun di sekitar Kempas dan Muar, susulan penahanan empat lelaki dan rampasan pelbagai jenis mercun bernilai RM531,950, semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Supt Dimin Awang berkata suspek termasuk seorang warga Indonesia berusia antara 27 hingga 41 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan pada 11 pagi dan 6 petang.
Beliau berkata serbuan pertama di Taman Pertama Indah, Sungai Abong, Muar membawa kepada rampasan 439 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun serta penahanan seorang lelaki tempatan dan Indonesia masing-masing berusia 27 dan 29 tahun.
“Pemeriksaan dibuat ke atas sebuah lori yang berada di premis itu menemukan 12 guni mengandungi mercun bola.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan mercun adalah RM500,000 dan tangkapan dua individu itu serta rampasan mercun diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dimin berkata dua suspek lagi berusia 37 dan 41 tahun ditahan dalam serbuan kedua di Taman Bukit Kempas pada 6 petang, serta turut merampas 39 kotak mercun bernilai RM31,950.
Menurut Dimin, bekalan mercun terbabit dipercayai diseludup dari negara jiran untuk bekalan perayaan Aildiftri.
Sementara itu, Dimin berkata rampasan mercun itu adalah yang terbesar di Johor dan suspek serta bahan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan Johor Bahru Utara untuk siasatan mengikut Akta Bahan Letupan 1975.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.