PGA bakal tempatkan dua lagi batalion di Sabah
KOTA KINABALU, 18 Mac (Bernama) — Dua lagi batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) bakal ditempatkan di negeri ini bagi memantapkan lagi pemantauan khususnya di kawasan sempadan negara, kata Komander Briged PGA Sabah SAC Abdul Rani Alias.
Beliau berkata perancangan untuk penambahan dua batalion berkenaan dijangka dilaksanakan tahun ini apabila PGA distrukturkan semula oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Penambahan dua lagi batalion di Sabah bertujuan memperkuatkan lagi kawasan sempadan darat yang berhampiran dengan Indonesia. Dua batalion ini dijangka dibuat (ditempatkan) antara Sipitang dan Kalabakan.
“Kita akan mendirikan pos-pos kawalan dalam memastikan keberkesanan tugas PGA menjaga sempadan negara khususnya di kawasan pedalaman,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Tolak Rasuah di Ibu Pejabat Briged Sabah, PGA Kinarut, dekat sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rani berkata PGA Sabah sentiasa memastikan anggotanya bersedia untuk melakukan latihan dan penugasan di lapangan.
“Selain itu, PGA pada masa sama turut melaksanakan tugas operasi bagi Ops Kontraban yang kini dilihat banyak membuahkan hasil dalam pencegahan jenayah termasuklah kejayaan rampasan mencecah RM8 juta di Merotai baru-baru ini,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai majlis hari ini beliau berkata, integriti dalam kalangan penguat kuasa terutama PDRM adalah penting dalam memastikan kesejahteraan serta kedaulatan negara terjamin.
“Penghargaan ini salah satu daripada inisiatif kita untuk memberi motivasi kepada pegawai dan anggota yang menolak rasuah,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 16 petugas terdiri anggota PGA dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menerima sijil penghargaan selepas menolak pemberian rasuah di Pusat Pemeriksaan Darat Kalabakan membabitkan tangkapan pendatang tanpa izin serta rampasan rokok seludup.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.