Petugas stesen minyak Petronas pakai tanjak setiap Sabtu
BANDARAYA MELAKA 18 Jun – Gelagat kakitangan di beberapa stesen minyak Petronas sekitar Banda Hilir yang bertanjak menarik perhatian orang ramai khusus pelacong dari luar Melaka.
Pengurus Kawasan Petronas Dagangan Berhad negeri Melaka, Mohd Asyraf Zainal berkata, petugas akan memakai tanjak pada setiap Sabtu dan mula dipratikkan sejak dua minggu lalu.
Menurutnya, selain mahu menampilkan kelainan, ia juga bertujuan membantu mempromosi pelancongan dalam kalangan pengguna stesen minyak yang berkunjung ke Melaka.
“Ramai pelanggan menyatakan perasaan teruja dan menyokong usaha kami. Ini merupakan inisiatif pertama diambil oleh stesen minyak Petronas di negeri ini yang memperkenalkan pemakaian tanjak dalam kalangan petugasnya.
“Perkara ini bersesuaian dengan imej dan kedudukan Melaka yang terkenal dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka satu ketika dulu,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).
Katanya, inisiatif tersebut akan diteruskan bergantung kepada sokongan dan penerimaan orang ramai terhadap usaha itu pada masa depan.
“Kami memilih tanjak kerana semua orang mengetahui bahawa tanjak ini mewakili pakaian adat utama masyarakat Melayu. Ia bersesuaian dengan imej Petronas yang merupakan produk utama, keluaran tempatan serta kebanggaan Malaysia,” ujarnya.
Menurutnya, langkah yang diambil itu dianggap julung-julung kali diadakan kerana sebelum ini belum ada mana-mana stesen minyak lain mengambil inisiatif yang sama.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.