
PETUGAS SEKOLAH HILANG, ANAK PEREMPUAN LEMAS SELEPAS KERETA DIHANYUTKAN ARUS DERAS
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika dihubungi di sini berkata kejadian berlaku semasa Dawellies Luing, 46, bersama anaknya Vallerie Mentie Dawellies, 9, sedang dalam perjalanan ke sekolah tersebut, di Sungai Sengayan di Long Jekitan, Baram pagi tadi.
“Kejadian berlaku sekitar 8 pagi dan pihak bomba menerima laporan kejadian pada pukul 12 tengah hari menerusi makluman dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi. Maklumat awal menyatakan kenderaan itu dihanyutkan arus sungai ketika ia cuba menyeberangi Sungai Sengayan,” katanya.
Beliau berkata kanak-kanak tersebut ditemukan lemas tidak jauh dari lokasi kejadian oleh penduduk kampung dan telah dibawa ke rumah keluarganya di Long Tikan.
Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi dijadualkan bertolak ke lokasi kejadian pada pukul 6 pagi esok dan perjalanan melalui jalan balak dianggarkan mengambil masa 10 hingga 12 jam.
Sementara itu seorang pengguna Facebook menggunakan nama Sabrina NJ yang mendakwa sebagai kenalan lama keluarga Dawellies dalam satu hantaran berkata jalan yang dilalui dua beranak tersebut merupakan jalan alternatif menghubungkan Long Silat, Long Mekabar dan Long Jekitan, setelah jalan utama iaitu Jalan Long Mekabar ke kawasan tersebut terputus.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.