Sorting by

×

Petugas media terima suntikan vaksin COVID-19 mulai Rabu ini- Khairy

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUALA LUMPUR 7 Jun – Petugas media yang berdaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan mula menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 Rabu ini, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata janji temu bagi tujuan vaksinasi itu akan mula diterima oleh petugas media hari ini.

“Ada dalam kalangan mereka mula menerima tarikh janji temu vaksin hari ini. Jadi, suntikan itu akan mula dilaksana pada Rabu.

“Jumlah penerima vaksin dalam kalangan petugas media bagaimanapun belum diputuskan lagi dan kami masih menelitinya,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Bulan lepas, Khairy dilapor berkata lebih 5,000 petugas media menerima tarikh janji temu untuk divaksinasi, mulai Jun.

Sementara itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, operasi hari pertama PPV KLCC hari ini berjalan lancar.

“Daripada segi operasi, saya lihat ia tersusun dan rata-rata penerima vaksin dalam kalangan warga emas yang hadir juga berpuas hati dengan kelancaran operasi PPV di sini.

“Kami juga akan melihat kemungkinan untuk menggandakan jumlah penerima vaksin dari semasa ke semasa di PPV ini, mungkin antara 10,000 hingga 15,000 orangm namun ia bergantung kepada kelancaran program vaksinasi di PPV ini,” katanya.

Ditanya mengenai isu terdapat segelintir warga emas yang dikatakan enggan menerima suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca, Khairy berkata pihaknya menyarankan agar golongan itu tidak memilih jenis vaksin.

“Untuk yang tidak hadir pada janji temu ditetapkan, mereka akan mendapat janji temu lain namun perlu diingatkan mereka masih tidak boleh memilih vaksin misalnya mahukan Pfizer. Kami tak boleh menjanjikannya. Jadi nasihat saya, supaya ambillah sebarang jenis vaksin yang ditawarkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

417
Kongsi :
Previous post PPV pandu lalu UiTM Puncak Alam beroperasi dua minggu lagi
Next post Harga minyak masak botol meningkat
Ubah saiz-+=