Petronas perluas program CSR berteras tiga tonggak utama
AYER KEROH 11 April – Petroliam Nasional Berhad (Petronas) komited memperluaskan pelbagai program tanggungjawab korporat sosial (CSR) berteraskan tiga tonggak utama bagi memacu kehidupan golongan sasar terutama B40 di negara ini.
Ketua Bahagian Operasi Petronas Wilayah Selatan, Ainal Ghauth Abdul Latib @ Talib berkata, tiga tonggak utama itu adalah ’empowering knowledge’, ‘uplifting life’ dan ‘planting tomorrow’ yang menjadi pegangan syarikat itu demi mengutamakan kebajikan terhadap golongan B40.
Katanya, program berterusan akan dijalankan sepanjang tahun di seluruh negara menggunakan kempen ‘Memacu Kehidupan Untuk B40’sebagai satu manifesto atau kempen untuk melestarikan rakyat Malaysia.
“Menerusi tiga tonggak utama ini ia akan menyentuh pelbagai aspek termasuk pendidikan, ekonomi dan pemerkasaan kesedaran alam sekitar kepada golongan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Iftar Petronas bersama Media Melaka diadakan di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini malam tadi.
Terdahulu dalam program diadakan itu, kira-kira 45 pengamal media dari pelbagai agensi di negeri ini diraikan dalam majlis berkenaan.
Mengulas lanjut, Ainal Gauth berkata pelbagai program CSR lain termasuk bantuan dari aspek pendidikan dan mangsa banjir turut dilaksanakan di Wilayah Selatan.
“Aktiviti seperti Program ‘Back To School’ dan membantu mangsa banjir di Johor telah dilaksanakan dan aktiviti seumpama itu sekali gus mampu mendekatkan Petronas bersama masyarakat memerlukan.
“Program CSR dijalankan menerusi Yayasan Petronas ini akan bekerjasama bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengenal pasti golongan memerlukan sebelum bantuan disalurkan kepada mereka.
“Pengisian program CSR ini akan berlanjutan disepanjang tahun di mana ia bukan sahaja akan dilaksanakan di Wilayah Selatan namun ia menyeluruh di seluruh negara,” katanya.
Pada masa sama, Ainal berkata program diadakan itu merupakan antara program tahunan diadakan sekali gus mampu menjalinkan hubungan baik pengamal media bersama syarikat itu.
“Iftar bersama media ini adalah acara tahunan yang kita sudah laksanakan bersama pengamal media dari Wilayah Selatan membabitkan negeri Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.
“Ini adalah salah satu acara untuk kita merapatkan silaturahim dan mendekatkan antara Petronas dan media, penghargaan diberikan kepada semua pihak yang hadir dan bekerjasama dalam meraikan program diadakan hari ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.