Sorting by

×

Petronas Penapisan Melaka kini dikenali sebagai ‘Melaka Energy Park’

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

SUNGAI UDANG 3 Mei – Malaysian Refining Company Sdn Bhd (MRCSB) atau dikenali sebagai Petronas Penapisan Melaka telah dijenamakan semula sebagai ‘Melaka Energy Park.

Pengerusi MRCSB, Ahmad Adly Alias berkata, sebagai pengendali tapak penapisan terbesar di negara, penjenamaan itu selari dengan pengoperasiannya selama 30 tahun sehingga melakar pencapaian Jubli Mutiara.

Beliau yang juga Naib Presiden Penapisan, Pemasaran dan Perdagangan, Hiliran, Petronas berkata, taman teknologi yang beroperasi di Sungai Udang itu menjadi antara penyumbang kepada negara dengan membekalkan 60 peratus permintaan minyak petroleum di semenanjung dengan pengeluaran 300,000 tong bagi keperluan harian.

“‘Melaka Energy Park’ akan memperluaskan keupayaannya untuk memenuhi keperluan yang lebih bersih, tenaga yang selamat dan cekap, sekali gus membuktikan industri ini mampu menjadi sebagai pemain utama dalam permintaan domestik dan landskap tenaga global.

“Ia bagi menampung permintaan pelbagai industri temasuk penerbangan, pembuatan dan pasaran pengguna yang meluas.

“Sebagai contoh antara penambahan baharu yang dilaksanakan di taman ini adalah Kilang DELIMA yang menghasilkan minyak Diesel EURO-5 dicipta sebagai minyak yang bersih dan rendah sulfur serta menjamin pembebasan toksik yang rendah,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis pelancaran penjenamaan semula itu dihadiri Naib Presiden Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Hiliran Petronas, Datuk Sazali Hamzah.

Hadir sama, Ketua Pegawai Ekskutif MRCSB, Ahmad Farid Yacob.

Sementara itu, Ahmad Farid berkata, dengan sokongan padu daripada Kerajaan Negeri pengoperasian tapak penapisan itu telah menjadi antara penyumbang besar kepada ekonomi Negeri Melaka sekali gus memacu pembangunan sosial.

“Selain menyediakan peluang pekerjaan kepada anak tempatan, syarikat ini turut akan memperluaskan pembangunan modal insan di negeri ini terutama dalam bidang pendidikan serta pemuliharaan alam sekitar berasaskan sumber alam semula jadi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2288
Kongsi :
Previous post Pampasan pengusaha PLKN bergantung pada kontrak
Next post Tingkat ilmu kendali bot, siap siaga hadapi bencana
Ubah saiz-+=