Peter Anthony diperintah bela diri tuduhan palsukan surat pejabat UMS

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KUALA LUMPUR, 14 Dis – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony membela diri atas pertuduhan memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di universiti itu pada 2014.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Peter, 50, di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 3 hingga 7 Jan 2022 untuk tertuduh membela diri.

Mengikut pertuduhan, Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada YAB Perdana Menteri, tingkat lima, bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Peter didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Dia juga berdepan pertuduhan pilihan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 yang mempunyai pernyataan palsu pada tajuk surat itu, dan beliau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan Peter membela diri atas pertuduhan memalsukan surat. -BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

497
Kongsi :
Previous post 23 mangsa banjir berada di PPS daerah Bandar Baharu
Next post Panglima Tentera Darat mengundi awal di Kem Muara Tuang
Ubah saiz-+=