Pesta tanglung meriahkan Sungai Melaka
BANDARAYA MELAKA 12 September – Kerjasama antara Melaka River Cruise (MRC) dan pusat beli-belah The Shore memeriahkan lagi Sambutan Pesta Tanglung kali ini.
Pengarah Bahagian Korporat dan Pembangunan Perniagaan, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Salman Salim berkata, kerjasama itu dijalinkan menerusi Program The Shore Lantern Cruise.
Katanya, hasil penjualan tiket bot MRC bagi penganjuran itu akan disalurkan kepada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pertubuhan Gerakan Belia Bersatu Malaysia (GBBM) Melaka.
“Kami gembira kerana dapat meluangkan masa bersama pengunjung pusat beli-belah The Shore pada program ini.
“Program seumpama ini akan diangkat sebagai acara tahunan PPSPM, kerana pesta tanglung ini jatuh pada musim cuti sekolah.
“Diharapkan program seperti ini dapat menyemarakkan lagi semangat perpaduan kaum memandangkan Hari Malaysia bakal disambut kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya pada Program The Shore Lantern Cruise di pusat beli-belah The Shore, di sini.
Sementara itu Pengurus The Shore, Paulin Lim berkata program itu diadakan bersempena Pesta Tanglung yang disambut 10 September lalu.
Menurutnya, pelbagai aktiviti disediakan kepada pengunjung seperti pertandingan membuat tanglung alam sekitar dan pertandingan melukis bagi kanak-kanak.
“Hadiah wang tunai berjumlah RM1,300 sijil dan piala akan diberikan kepada pemenang pertandingan yang dianjurkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.