PESTA PANTAI TANJUNG BIDARA: PENYERTAAN LEBIH 20 ACARA MASIH DIBUKA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

TANJUNG BIDARA 12 September – Orang ramai masih berpeluang untuk menyertai pelbagai acara menarik yang disediakan bersempena Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 yang akan berlangsung hujung minggu ini.

Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri merangkap Penyelaras Program, Abdul Hakim Abdul Wahid berkata, pesta berkenaan bakal menampilkan lebih 20 acara seperti sukan pantai; sukan rakyat, festival seni pasir dan lain-lain lagi sepanjang tiga hari.

Beliau memaklumkan, buat masa ini hanya acara Fun Walk 3 kilometer (km) yang telah ditutup pendaftaran kerana telah menerima lebih 2,000 penyertaan, manakala Fun Ride 25km dan Fun Run 5km masih dibuka.

“Alhamdulillah, sehingga hari ini penyertaan yang diterima oleh setiap acara sangat positif dan amat menggalakkan.

“Untuk sukan pantai kita mempertandingkan enam acara seperti tarik tali; panjat tiang licin; sepak raga bulatan; bola sepak pantai; tangkap itik dan Nelayan Boat Race.

“Manakala untuk sukan rakyat kita bawakan acara kerusi muzikal; lari dalam guni; cari gula dalam tepung; lari kepit belon dan isi air dalam botol,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Akhir Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 di Japerun Tanjung Bidara, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Hakim berkata, antara acara lain yang mendapat perhatian ramai adalah sukan karom dan Pertandingan Dam Aji.

Meskipun menerima sambutan luar biasa, namun beliau memaklumkan penyertaan bagi dua acara itu masih dibuka.

“Kita akan buat pusingan kalah mati untuk memendekkan penyertaan, di mana akan ada peringkat bertanding dalam kumpulan ataupun mengikut ketetapan lain daripada urusetia penganjur acara itu nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

856
Kongsi :
Previous post 5 KAWASAN DI MELAKA TENGAH, ALOR GAJAH DILANDA BANJIR KILAT
Next post PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT DIHEMPAP POKOK TUMBANG
Ubah saiz-+=