PESTA PANTAI TANJUNG BIDARA DI FASA AKHIR PERSIAPAN, TIADA JALAN DITUTUP
TANJUNG BIDARA 11 September – Persiapan menjelang Pesta Pantai Tanjung Bidara yang bakal berlangsung pada 13 hingga 15 September ini telah mencapai kemajuan 85 peratus.
Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abdul Hakim Abdul Wahid berkata, berbaki 15 peratus lagi yang tinggal hanyalah kerja-kerja akhir di tapak lokasi.
Katanya, perkara itu telah disahkan selepas mendapat maklum balas daripada pihak agensi dan jabatan yang terlibat pada acara julung kali akan diadakan itu.
“Persiapan semua jabatan dan agensi terlibat untuk ketiga-tiga hari kita boleh pastikan hampir semuanya telah bersedia.
“Ia termasuklah pihak yang akan membuat persembahan menarik seperti persembahan pancaragam oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA); persembahan demonstrasi oleh bomba, aksi tempur tanpa senjata oleh pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pelbagai lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Akhir Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 di Japerun Tanjung Bidara di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hakim memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan satu video pendek mengenai laluan untuk ORANG RAMAI ke Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024.
Jelasnya, laluan itu akan dimuat naik ke laman sosial dalam kadar waktu yang segera.
“Poster laluan kita sudah keluarkan, namun kita akan buat video pendek untuk lebih jelas, di mana hendak parkir, laluan yang akan digunakan dan pelbagai lagi.
“Untuk pemakluman juga, tiada jalan akan ditutup, cuma jalan raya akan dikongsi dengan acara Fun Walk,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.