PESTA PANTAI TANJUNG BIDARA 2024: TIGA HARI, PADAT PELBAGAI ACARA

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

TANJUNG BIDARA 10 September – Penceramah terkenal Ustaz Amran Bollywood serta kemunculan penyanyi popular tanah air seperti Ziana Zain, Zamani dan kumpulan nasyid Raihan bakal menyerikan Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula pada Jumaat hingga Ahad ini.

Setiausaha Japerun Tanjung Bidara, Ahmad Warid Ismail berkata, persembahan dan kemunculan mereka itu antara pelbagai acara menarik yang bakal menanti pengunjung termasuk Tanjung Bidara Berselawat yang akan diadakan di pentas utama pada Ahad malam.

“Selama tiga hari penganjuran bermula Jumaat ini kita merangka pelbagai acara menarik buat semua lapisan peringkat usia yang mana akan dimulakan dengan ceramah agama sempena Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Ustaz Zulramli Mohd Razali di Masjid Al-Ehsan, Kampung Londang.

“Acara Tanjung Bidara-Alor Gajah Explorace 2024 akan membuka tirai hari kedua Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 dan diikuti dengan beberapa lagi acara dan pertandingan antaranya festival seni pasir, pertandingan mewarna dan pertandingan karaoke manakala acara kemuncak pada sebelah malam pula akan berlangsung konsert sebelum persembahan bunga api.

“Sudah semestinya pada hari terakhir iaitu kemuncak Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024, lebih banyak aktiviti dan pertandingan akan berlangsung antaranya acara tarik tali, panjat tiang licin, tangkap itik dan nelayan boat race termasuk juga acara sukan tradisional. Selain itu turut akan berlangsung acara Fun Ride, Fun Run dan Family Fun Walk,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Ahmad Warid, penganjuran Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 turut akan dimeriahkan dengan persembahan layang-layang, perarakan sampan berhias, persembahan atur gerak meriam dan juga Kenduri Rakyat yang akan menghimpun bukan sahaja masyarakat setempat tetapi juga kesemua pengunjung.

“Lebih menggamatkan lagi suasana sekitar Pantai Tanjung Bidara adalah persembahan pancaragam oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan aksi tempur tanpa senjata oleh pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Malah turut akan berlangsung adalah Pameran Aset Tentera oleh ATM.

“Dengan pelbagai aktiviti dan pertandingan menarik kita yakin dapat menarik kira-kira 20,000 pengunjung untuk hadir ke Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 yang akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Ahad,” katanya.

Jelasnya, sepanjang tiga hari berlangsung pesta itu terdapat 28 reruai yang terdiri daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan termasuk gerai jualan yang menjual pelbagai jenis makanan malah menariknya juga terdapat beberapa buah motosikal untuk dibawa pulang oleh pengunjung sebagai hadiah Utama untuk cabutan bertuah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3237
Kongsi :
Previous post TURAP JALAN DI HUTAN SIMPAN BERMULA 7 PETANG HINGGA 6 PAGI
Next post MELAKA IKRAR PERANGI JENAYAH SIBER
Ubah saiz-+=