PESTA PANTAI BERI NAFAS BAHARU UNTUK TANJUNG BIDARA

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

TANJUNG BIDARA 14 September – Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 menjadi medan terbaik untuk seisi keluarga menyertai pelbagai aktiviti disediakan.

Tinjauan Melaka Hari Ini di sekitar lokasi mendapati rata-rata pengunjung yang hadir turut membawa anak kecil ke Pantai Tanjung Bidara bagi menikmati pelbagai tarikan yang disediakan.

Menurut pengunjung dari Kuala Linggi, Aini Nin Abi, 51, dia bersama enam lagi ahli keluarganya telah hadir seawal jam 9 pagi untuk menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan termasuk pertandingan karaoke dan mewarna.

Menurutnya, penganjuran Pesta Pantai Tanjung Bidara itu merupakan program yang sangat baik dan wajar dianjurkan setiap tahun.

“Saya bawa anak dan cucu hadir ke sini untuk beri pendedahan kepada mereka yang sedang cuti sekolah untuk masuk semua pertandingan atau aktiviti yang ada.

“Antara aktiviti yang disertai oleh anak-anak adalah pertandingan karaoke cilik; pertandingan mewarna dan Ratu Batik Malaysia,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Nada sama disuarakan seorang lagi pengunjung, Mohd Arif Rosli, 38, yang menetap di Pasir Gembur, Tanjung Bidara.

Mohd Arif menyifatkan penganjuran pesta itu menghidupkan kembali Pantai Tanjung Bidara yang dahulu pernah terkenal sebagai lokasi tumpuan pelancong sebelum kembali suram.

“Saya hadir ke pesta ini mengambil kesempatan bawa anak-anak untuk sertai pertandingan mewarna dan melukis.

“Pada saya penganjuran pesta ini boleh dikatakan seolah memberi nafas baharu kepada Pantai Tanjung Bidara di mana saya sebagai anak tempatan melihat pesta ini mampu menarik lebih ramai pengunjung sekaligus mampu merancakkan ekonomi setempat,” katanya.

Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 diadakan selama tiga hari bermula 13 hingga 15 September dengan pelbagai pengisian dan aktiviti menarik.

Pesta itu akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara pada esok pagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

610
Kongsi :
Previous post DARI TEPI JALAN KE TAPAK PESTA, PENIAGA UCAP TERIMA KASIH KETUA MENTERI
Next post 2,500 ORANG MELAKA DAPAT LESEN PERCUMA
Ubah saiz-+=