PESTA KONVO UTEM DIJANGKA GAMIT 50,000 PENGUNJUNG
DURIAN TUNGGAL 8 November – Seramai 50,000 pengunjung dijangka membanjiri Pesta Konvo Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) 2024 (PESKOUTeM20) yang berlangsung bermula hari ini hingga 11 November di Tapak Pesta Konvo Kampus Induk UTeM.
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, PESKOUTeM 20 diadakan bersempena Majlis Konvokesyen UTeM ke-20 yang berlangsung dari 9 hingga 11 November.
Katanya, konvokesyen ke-20 meraikan seramai 3,459 orang graduan diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD) dan daripada jumlah itu 70 peratus adalah graduan aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi.
“Sehubungan dengan itu, lebih daripada 22 program menarik telah disusun menerusi PESKOUTeM20 dengan gabungan pelbagai konsep yang tentunya menjadi tarikan orang ramai serta para pengunjung.
“Pihak UTeM amat mengalu-alukan kehadiran rakyat Melaka dan pelancong untuk bersama-sama memeriahkan serta mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang diatur,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal pelajar dan Alumni UTeM, Prof Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, PESKOUTeM20 diformulakan dengan pengisian program berdaya tarikan tinggi khas buat para pengunjung.
“Antara aktiviti menarik yang disajikan adalah Jelajah UTeM Menjerit 3.0, Daie Muda UTeM, UTeM Jaguh Joran, Career Contemporary Workshop, Lambaian Baitullah: Kursus Umrah.
“Malam Kesenian Islam, UTeM Esport National Chamspionship 2024, Permainan Tradisional Malaysia, derma darah dan banyak lagi.
“PESKOUTeM20 kali ini akan membawa selebriti dakwah tanah air iaitu PU Rahmat, turut dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal tanahair, Ella dan barisan artis di bawah naungan Warner Music Malaysia, Universal Music dan Indigital Music,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.